Quantcast

BERITA

KBS Mahu Penjelasan Pihak Terbabit Isu 13 Stadium Tidak Selamat

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahukan penjelasan mengenai laporan yang mengatakan 13 stadium di seluruh negara tidak selamat untuk digunakan kerana tidak mempunyai Sijil Pematuhan Kod (CCC).

Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Menteri, Steven Sim yang berkata pihanknya mahukan penjelasan dan maklumat terperinci mengenai dakwaan tersebut, sebelum tindakan sewajarnya diambil oleh Kementerian untuk menangani masalah itu.

Baru-baru ini laporan oleh salah sebuah akhbar tempatan mengatakan pihak BOMBA mengesahkan 13 stadium di dalam negara sebagai tidak selamat, dan berisiko tinggi dari segi keselamatan.

Stadium MBPJ adalah stadium rasmi PJ City FC pada musim ini.

Ketua Seksyen Perakuan Keselamatan Bangunan Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Zamri Che Din, menjelaskan ketiadaan CCC untuk stadium berkenaan disebabkan oleh binaannya menjangkau usia lebih 20 tahun, serta tiada ciri keselamatan yang dipatuhi.

Bercakap kepada BERNAMA, Steven Sim dipetik sebagai berkata:

“Kita perlu lihat dahulu perkara ini dengan pengurusan stadium yang terlibat dan juga bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tentang apa yang berlaku,” katanya ringkas kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan BERNAMA di majilis penutupan Kejuaraan Silat Terbuka Cekak Harimau Malaysia 2019 di Dewan Tun Razak semalam.

Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan

Antara stadium yang disenaraikan tidak memiliki CCC dalam laporan akhbar sebelum ini ialah Stadium Darul Makmur, Stadium Darul Aman, Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Stadium Tunku Abdul Rahman, Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Stadium Sultan Muhammad IV, Stadium Tuanku Syed Putra, Stadium Bandaraya, Stadium Likas, Stadium Negeri, Sarawak dan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Kesemua stadium tersebut merupakan antara prasarana yang digunakan secara aktif saban musim di saingan Liga Malaysia.