Terikat tanpa jaringan di babak pertama berdepan Penang FC, pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto telah berjaya menaikkan moral pemainnya di bilik persalinan.
Tiada sebarang perubahan taktikal perlu dilakukannya kerana mereka telah berjaya membendung Penang untuk meledak gol di babak pertama dan menurutnya, beliau hanya bermain kata-kata sebagai pembakar semangat untuk para pemainnya.
Ujar Kurniawan dalam sidang media, “Saya katakan kepada mereka, banyak pihak yang ragu-ragu dengan pasukan kita ditambah dengan ketiadaan pemain-pemain senior. Saya katakan bahawa 20 pemain ini adalah yang terbaik di Sabah saat ini.”
“Jadi, jangan beri ruang kepada pemain-pemain lain untuk mengambil tempat kamu dan tunjukkan 45 minit nanti bakal merubah diri kamu semua,” jelas Kurniawan lagi.
Liga Super 2021: Skuad 'Tempang' Sabah Sekat Rentak Kemenangan Penang https://t.co/6suBHoDc5U
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) April 11, 2021
Hasil permulaan yang positif menyaksikan The Rhinos berjaya menghasilkan jaringan pembukaan pada minit ke-52 menerusi rembatan deras kaki kiri Saddil Ramdani menewaskan Bryan See. Ia hasil gerakan satu duanya bersama Sam Johnson.
Babak kedua bermula dengan permainan lebih teratur dilakukan oleh Sabah. Fokal di jentera serangan mereka adalah Levy Madinda yang menjadi penghubung kepada tiga pemain penyerang iaitu Sam Johnson, Amri Yahya dan juga Saddil Ramdani.
Sabah sebenarnya terbang ke Pulau Pinang tanpa beberapa tonggak utama pasukan seperti Rawilson Batuil, Azzizan Nordin, Mafry Balang, Sabri Sahar dan Maxsius Musa sehingga terpaksa membawa bersama pemain daripada skuad Piala Presiden.
Begitupun, mereka masih berjaya mengimbangi perlawanan dan menyukarkan Penang untuk memenangi perlawanan di halaman sendiri, di hadapan penyokong mereka.
Baaa matchday! Mafry, Jenius, Sabri, Azzizan, & captain Rawilson tiada dalam travelling squad ya.
— SabahRhinos (@sabahrhinos) April 10, 2021
Ujar Kurniawan mengenai ketiadaan pemain-pemain tonggak utamanya yang mungkin menjejaskan perancangan berdepan Penang, “Saya percaya dengan semua pemain saya. Jadi, siapa pun yang bermain tentunya mereka yang bersedia 100 peratus. Tiada jaminan dalam pasukan saya, mereka akan terus jadi pemain utama.”
Dalam aksi yang berlangsung dengan keadaan padang yang ‘berat’ akibat hujan lebat yang turun di permulaan perlawanan, kedua-dua pasukan sedikit bergelut sebelum menyesuaikan diri, namun beberapa gerakan berjaya dicipta oleh kedua-dua pasukan.
Penang terutamanya memiliki deretan peluang menamatkan aksi dengan keputusan selesa gagal melangsaikan peluang-peluang yang terhidang buat mereka.
Dan tuan rumah seharusnya berterima kasih kepada Casagrande apabila beliau akhirnya berjaya meledak jaringan penyamaan, lima minit menuju ke wisel penamat, seterusnya membolehkan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 1-1.
Keputusan ini belum mampu mengeluarkan The Rhinos daripada zon penyingkiran apabila hanya dibezakan satu mata di atas Sri Pahang FC di kedudukan ke-11 liga.
KREDIT FEATURED IMAGE: SABAH FC
Baca lagi artikel lain tentang Kurniawan dan Sabah FC:
Liga Super: Skuad ‘Tempang’ Sabah Sekat Rentak Kemenangan Penang
Kurniawan Dwi Yulianto: ‘Otak’ Serangan Terengganu Ada Pada Konate
Sabah Batalkan Hasrat Dapatkan Pereyra Diaz Lepas Teliti ‘Kisah Hitam’?