Penyerang Real Madrid, Karim Benzema berterima kasih kepada ibunya yang tidak pernah berputus asa mendoakan impiannya untuk merangkul anugerah Ballon d’Or.
Pemain antarabangsa Perancis ini dimahkotakan dengan gelaran pemain terbaik dunia tersebut dalam majlis yang berlangsung di Paris selepas melalui musim 2021/22 dengan cemerlang setelah membantu Los Blancos menjuarai La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Rekod 44 gol dan merekodkan 15 bantuan jaringan daripada 46 perlawanan dalam semua pertandingan yang dicataf oleh pemain berusia 34 tahun ini juga telah meletakkan beliau selaku calon pilihan utama untuk memenangi anugerah ini buat kali pertama.
Benzema juga pemain Perancis pertama memenangi Ballon d’Or sejak Zinedine Zidane – yang menyampaikan anugerah tersebut – melakukannya pada 1998. Beliau juga merupakan pemenang paling tua sejak Stanley Matthews menang edisi pertama pada 1956.
Karim Benzema is the fifth French football player to win the Ballon d'Or 🇫🇷#ballondor pic.twitter.com/SCrfe1opoy
— Ballon d'Or (@ballondor) October 17, 2022
Sadio Mane dan Kevin de Bruyne pula masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Dalam ucapannya selepas menerima trofi, Benzema tanpa berselindung melahirkan penghargaan buat ibunya, Wahida Djebbara yang sentiasa memberi sokongan sepanjang kariernya dan kemudian menjemput ibu dan anaknya naik ke pentas.
“Ibu sayalah insan yang sentiasa percaya dengan impian abadi saya untuk memenangi Ballon d’Or,” ujarnya.
Karim Benzema brought his mother and son onto the stage to celebrate his Ballon d'Or with him ❤️ pic.twitter.com/tPFS96D3aT
— ESPN FC (@ESPNFC) October 17, 2022
“Pencapaian ini amat membanggakan saya. Selepas segala usaha yang dicurahkan, saya tak pernah berputus asa. Saya mempunyai dua idola yang menjadi contoh ikutan dan menjadi motivasi dalam hidup saya – Zidane dan Ronaldo.
“Impian [memenangi Ballon d’Or] ini sentiasa dalam jiwa dan saya percaya tiada perkara yang mustahil. Ada tempoh sukar di mana saya dipinggirkan dari skuad Perancis, tetapi saya terus bekerja keras dan tak pernah putus asa.
“Saya sentiasa tanam dalam kepala, tumpukan perhatian bermain bola sepak dengan sepenuh jiwa dan saya bangga dengan perjalanan saya hingga sampai di sini.
“Ia tidak mudah untuk melalui masa-masa sukar, ia juga sukar buat keluarga saya. Tetapi berada di sini pada hari ini buat kali pertama, saya gembira dan bersyukur dengan segala usaha dan saya akan teruskannya.”