Sebelum menyertai Real Madrid, Karim Benzema telah beraksi bersama kelab tanah kelahirannya, Lyon sejak berusia 10 tahun lagi. Prestasinya ketika menyarung jersi Lyon begitu memuncak pada musim 2007/08 apabila beliau berjaya menjaringkan 31 gol dalam 53 penampilan.
Keadaan itu telah menarik minat Real Madrid untuk mendapatkan khidmat beliau dan semuanya menjadi kenyataan dua musim kemudian setelah Benzema secara rasmi bergelar pemain Los Blacos pada 1 Julai 2009 dengan yuran perpindahan bernilai €35 juta.
Lebih menarik untuk diperkatakan, musim tersebut juga menyaksikan Real Madrid turut mengikat beberapa bintang ternama dunia iaitu Cristiano Ronaldo, Kaka dan Xabi Alonso.
Kini, selepas 11 musim bersama gergasi Sepanyol itu, Benzema mengakui bahawa jiwanya masih lagi kekal utuh terhadap Lyon dan memberikan gambaran bahawa beliau akan kembali semula beraksi untuk kelab Ligue 1 itu.
”Kembali ke Lyon? Itulah yang sering diperkatakan kepada saya. Orang ramai tahu bagaimana ikatan saya terhadap Lyon.”
”Kembali ke Lyon dalam masa terdekat tidak mungkin akan berlaku kerana saya berada di kelab terbaik di dunia dan saya mempunyai banyak perkara yang perlu dilakukan.”
”Tetapi saya boleh kembali ke Lyon dan bersara, mengapa tidak?” ujar Benzema menurut sumber Goal.
”Bagaimanapun saya akan kembali ke Lyon, sama ada sebagai pemain bola sepak atau tidak.”
Sepanjang bersama Lyon, Karim Benzema telah menjaringkan 66 gol dalam 148 penampilan dalam semua pertandingan yang disertai kelab itu selama lima musim. Manakala, beliau berjaya meledakkan 241 gol dalam 501 penampilannya sepanjang 11 musim di Madrid.
Kredit foto: Manuel Queimadelos/Quality Sport Images/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Lyon: