Penyerang Real Madrid dari Perancis, Karim Benzema kini sedang menikmati detik sukar dalam kariernya apabila seringkali menjadi mangsa kritikan peminat.
Pemain yang bakal menjangkau usia 31 tahun pada Disember nanti itu hanya mampu menjaringkan lima gol dari 26 penampilannya dalam saingan La Liga musim ini.
Jumlah jaringan yang dihasilkan beliau itu juga berjaya disamakan oleh pemain tengah, Casemiro yang turut telah mencipta lima jaringan setakat ini.
Keadaan tersebut membuatkannya seringkali menjadi mangsa kritikan peminat Real Madrid yang jelas tidak berpuas hati dengan sumbangan diberikan Benzema.
Namun, semuanya tidak diendahkannya dan Benzema dengan yakin mengatakan bahawa beliau masih merupakan pemain yang hebat.
Bercakap kepada Vanity Fair, Benzema berkata: ”Saya bermain bola sepak dan saya mencuba untuk membantu rakan sepasukan dan untuk memenangi segala yang ada untuk menang.”
”Apa yang saya tidak suka apabila orang menyerang (mengkritik) saya ketika saya beraksi baik, walaupun saya tidak menjaringkan gol. Saya bermain untuk orang yang menghargai apa yang saya lakukan di dalam padang.”
”Orang akan sentiasa mengkritik pemain yang hebat kerana itu akan membuatkan akhbar laku. Jika saya beraksi dengan buruk, saya tidak perlu membaca untuk mengetahuinya.”
Dalam pada itu, Benzema menyifatkan Presiden Real Madrid, Florentino Perez menjadikan saat sukarnya bersama kelab menjadi mudah dan turut menganggap hubungan mereka seperti ahli keluarganya.
”Ianya seperti satu mimpi untuk menemui seseorang sepertinya. Dia sangat tenang dan mesra,” jelas Karim Benzema memuji presiden berusia 71 tahun itu.
”Dia berada dibelakang saya ketika susah mahupun senang. Dia merupakan presiden kelab, tetapi bagi saya dia juga seolah-olah ahli keluarga saya. Itulah yang saya rasakan.”