Penjaga gol legenda Sepanyol, Iker Casillas secara rasmi telah mengumumkan persaraannya di pentas bola sepak profesional menerusi laman sosial peribadi miliknya sebentar tadi.
Berusia 39 tahun, Casillas sebelum ini yang masih aktif beraksi bersama FC Porto dikejutkan dengan serangan jantung dialami ketika sesi latihan pasukan pada Mei tahun lalu. Sebaik sahaja pulih daripada episod hitam tersebut, beliau diserapkan ke barisan kejurulatihan Porto.
Ketika Presiden FC Porto, Pinto da Costa sudah memberikan bayangan pada Februari lalu bahawa karier Casillas bakal berakhir, penjaga gol hebat itu merasakan sudah tiba masanya untuk beliau mengucapkan selamat tinggal sebagai seorang pemain bola sepak profesional.
Pengumumannya itu pasti membuatkan Casillas dikenang sebagai antara penjaga gol terbaik dalam lipatan sejarah bola sepak dunia.
Iker Casillas telah menikmati pelbagai kejayaan ketika menyarung jersi Real Madrid, antaranya ialah mengungguli saingan Liga Juara-Juara Eropah bagi musim 1999/00, 2001/02 dan 2013/14 serta muncul juara La Liga sebanyak lima kali. Dalam pada itu beliau turut membantu Real Madrid menjuarai Piala Dunia Kelab FIFA 2014 dan Copa del Rey 2010/11 dan 2013/14.
Memilih untuk berhijrah ke FC Porto pada musim 2015/16, Casillas menjadi sebahagian daripada skuad tersebut yang menjuarai Primeira Liga 2017/18 serta Piala Super Portugis 2018. Di pentas antarabangsa bersama skuad La Roja, Casillas menjadi tonggak utama Sepanyol ketika muncul juara Piala Dunia 2010 serta Kejuaraan Eropah dua edisi berturut-turut iaitu pada tahun 2008 dan 2012.
Permulaan kisah hebat karier Iker Casillas
Pemilik nama penuh Iker Casillas Fernandez ini lahir pada 20 Mei 1981 di Mostoles, yang merupakan bandar di komuniti Madrid. Ini bermakna Casillas sememangnya merupakan anak jati Madrid. Beliau adalah anak sulung kepada pasangan seorang guru, Jose Luis Casillas dan pendandan rambut, Maria del Carmen.
Perjalanan panjang karier Casillas bermula ketika usianya 10 tahun apabila bapanya terlihat iklan permohonan masuk ke Akademi Real Madrid di ruangan sukan dalam satu akhbar. Tidak mahu anaknya yang memang gemar bermain bola sepak selaku penjaga gol terlepas peluang keemasan tersebut, beliau membawa Casillas ke Santiago Bernabeu untuk sesi percubaan.
‘Kalau dah rezeki, tak kemana’, itulah kata-kata yang cukup sesuai untuk digambarkan buat Iker Casillas selepas beliau terpilih untuk menyertai Akademi Real Madrid. Dari situlah beliau mula meletakkan asas yang kuat untuk menembusi skuad utama Los Blancos.
Casillas dipanggil buat pertama kali menyertai skuad utama Real Madrid pada 27 November 1997 ketika aksi menentang Rosenberg dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah 1997/98 di Lenderkal Stadium. Beliau bagaimanapun hanya berada di bangku simpanan kerana ketika itu posisi penjaga gol utama dikuasai oleh Santiago Canizares.
También un 12 de septiembre, en esta ocasión, de hace 19 años… #debutcasillas pic.twitter.com/GBLU0cQ7zY
— Iker Casillas (@IkerCasillas) September 12, 2018
Saat yang dinantikan akhirnya menjelma pada 12 September 1999 setelah Casillas membuat penampilan sulung sebagai penjaga gol utama Real Madrid pada aksi La Liga 1999/2000 menentang Athletic Bilbao. Lebih menarik, lawan yang ditentang tersebut adalah kelab kegemaran bapa beliau sendiri.
Pada aksi tersebut, Iker Casillas dibolosi dua jaringan selepas gagal menafikan sepakan percuma terus daripada Julen Guerrero pada minit ke-16 dan juga hantaran lintang Aitor Larrazabal yang terkena Geremi Njitap lalu menerjah gawangnya. Keputusan penuh perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2.
Berselang tiga hari kemudian, beliau yang ketika itu berusia 18 tahun 177 hari telah memahat rekod sebagai penjaga gol termuda yang beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah setelah diturunkan ketika aksi berdepan Olympiakos. Rekod itu bagaimanapun berjaya dipecahkan oleh penjaga gol Benfica, Mile Svilar pada Oktober 2017.
Sejarah terus dilakarkan Casillas apabila beliau menjadi penjaga gol termuda yang beraksi dalam final Liga Juara-Juara Eropah sekaligus menjuarai piala paling berprestij di Eropah itu ketika Real Madrid menundukkan Valencia 3-0 hanya selepas empat hari beliau menyambut ulang tahun kelahiran ke-19.
Penampilan antarabangsa bersama Sepanyol
Iker Casillas membuat penampilan sulung bersama Sepanyol pada 3 Jun 2000 selepas beliau dimasukkan di minit ke-63 bagi menggantikan Jose Francesco Molina ketika perlawanan persahabatan menentang Sweden di Ullevi Stadium. Beliau hanya dibolosi daripada sepakan penalti yang diambil Roland Nilsson untuk perlawanan berkesudahan seri 1-1.
Selepas itu beliau telah terpilih ke Kejuaraan Eropah di Belgium dan Belanda tetapi hanya memanaskan bangku simpanan kerana pada ketika itu Santiago Canizares dan Jose Molina masih lagi menjadi pilihan pengurus pasukan, Jose Antonio Camacho.
22 years. 1,048 games.
What a career.Thank you, @IkerCasillas ? pic.twitter.com/LGc7X0RwTW
— B/R Football (@brfootball) February 18, 2020
Kecederaan yang dialami Canizares berikutan kemalangan menjelang Piala Dunia 2002 di Korea dan Jepun memberikan peluang buat Casillas untuk mengisi kekosongan selaku penjaga gol utama pasukan. Beliau pantas membalas kepercayaan tersebut terutamanya ketika menafikan dua sepakan penalti Republik Ireland ketika penentuan sepakan penalti di peringkat 16 terbaik.
Selepas daripada itu, Casillas terus menjadi pilihan untuk mengawal gawang skuad kebangsaan Sepanyol dalam mana-mana kejohanan besar yang disertai.
Selamat bersara, legenda!
Memang terlalu panjang kisah untuk dicoretkan mengenai penjaga gol kental ini, aksi cemerlangnya bersama Sepanyol, Real Madrid dan FC Porto pasti akan dirindui peminat bola sepak di seluruh dunia khususnya.
Selamat bersara, The Saint!
Kredit featured image: Denis Doyle/Getty Images