Minggu lepas, Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) telah mengumumkan kemasukan bekas kapten Kelantan FA iaitu Badhri Radzi bagi memperkuatkan jentera tengah pasukan itu.
Malah, mereka turut membawa masuk beberapa pemain berpengalaman seperti Mohd. Nizab Ayub (Perak), Mohd. Azrean Aziz (T-Team), Wan Mohamad Ridhwan Deraman (Kelantan) dan Mohd Ainan Yusoff (Piala Presiden Kelantan) serta mempunyai seorang pemain import dari Gambia, Alfusainey Gassamu.
Ianya sekaligus mengundang pertanyaan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan sama ada kelab tersebut mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk beroperasi dalam beberapa tahun yang akan datang selepas dipalit dengan isu tunggakan gaji oleh pasukan negeri, Kelantan FA.
Mengulas mengenai isu tersebut, Presidennya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata dalam Utusan Malaysia, KUFC mengamalkan konsep perbelanjaan ‘ukur baju di badan sendiri’ dengan menawarkan gaji mengikut kemampuan kepada para pemainnya.
“Kita pun sedari bahawa bola sepak perlukan sumber kewangan besar dan kukuh dalam menggerakan pasukan.
“Sebab itu kita belanja ikut kemampuan dengan prinsip ukur baju dibadan sendiri. Kalau ikut nafsu (dalam berbelanja) kita teringin nak jadi macam Johor Darul Ta’zim dengan bawa masuk pemain-pemain yang hebat,” katanya.
Kelantan United bersaing dalam liga divisyen 3 (Liga M3) dan kini menghuni di tangga ketiga dengan 16 mata selepas mencatat lima kemenangan dan satu seri.
Che Abdullah berharap pasukannya itu terus konsisten dan mampu mencapai kedudukan dua teratas Liga M3 untuk menempah tiket beraksi di saingan Liga Premier musim depan.
“Besar harapan kita agar KUFC mampu melangkah jauh dan layak ke saingan Liga Perdana musim depan,” ujarnya.