Pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante telah menandatangani kontrak selama lima tahun untuk beliau kekal di Stamford Bridge sehingga 2023.
Pemain antarabangsa Perancis berusia 27 tahun itu telah menjaringkan tiga gol dari 81 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk Chelsea, sejak menyertai kelab London itu dari Leicester City pada 2016.
Langkah kanan bersama The Blues
Kante memulakan karier beliau di Chelsea dengan jayanya apabila menjuarai kejuaraan EPL di musim pertama bersama kelab tersebut.
Musim yang sama turut menyaksikan Kante menerima penghormatan dari rakan profesional – apabila turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Inggeris.
Ia adalah rentetan kejayaan yang boleh dianggap epik untuk Kante yang pada musim sebelumnya turut membantu Leicester City bergelar juara liga – setelah pemain itu tiba di bola sepak Inggeris dari kelab divisyen dua Perancis, Caen pada 2015.
Kante masih dahaga
Bercakap kepada media Chelsea, Kante yang jelas gembira dengan kontrak baharu tersebut berkata beliau sentiasa mahukan lebih banyak kejayaan di masa hadapan.
“Ia adalah tempoh dua tahun yang indah di sini, dan sudah tentu saya mahukan lebih lagi,” ujar beliau.
“Sejak saya tiba di sini, saya berjaya mempertingkatkan kemampuan diri sebagai pemain. Saya juga sentiasa mencabar diri saya untuk pergi jauh, dan turut memenangi beberapa kejayaan individu yang selama ini saya tidak pernah impikan.
“Saya juga sukakan bandar [London], kelab ini, dan sudah tentu saya gembira kerana akan kekal lama di sini.”
Kante kini memiliki 36 caps antarabangsa untuk Perancis dan merupakan tonggak utama Les Bleus muncul juara dunia di Rusia pada musim panas yang lalu.
Chelsea anggap Kante istimewa
Pengarah Chelsea, Marina Granaovskaia yang bertindak sebagai wakil dalam majlis pembaharuan kontrak Kante turut menganggap Kante adalah pemain yang istimewa.
“Apabila beliau tiba di Chelsea, kami mengetahui kami telah berjaya menandatangani pemain yang istimewa – dan turut mengujakan mereka yang lain dengan corak permainan yang tidak mengenal penat lelah dan sikap tidak mementingkan diri sendiri.
“Di luar padang, Kante adalah seorang profesional yang sangat merendah diri – walaupun hakikatnya beliau adalah juara dunia dan memiliki dua kejuaraan liga.”