Anugerah Kasut Emas merupakan impian setiap penyerang. bagi penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane yakin beliau mampu menandingi keupayaan penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah untuk perebutan anugerah kasut emas Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini.
Kane bertekad untuk dinobatkan sebagai penjaring terbanyak EPL untuk musim ketiga berturut-turut; satu pencapaian yang kali terakhir diraih oleh Thierry Henry di antara 2003 sehingga 2006.
Kane sudah menjaringkan 24 gol untuk Spurs pada musim ini. Dan Salah memiliki kelebihan 5 gol berbanding dengan apa yang telah dilakukan oleh penyerang England itu.
Kini Spurs mempunyai baki 6 perlawanan, manakala Liverpool mempunyai baki 5 perlawanan menuju ke akhir musim. Dan Kane yakin kelebihan tersebut mampu dipergunakan untuk memintas jumlah jaringan terkumpul milik Salah.
“Saya masih percaya saya mampu melakukannya. Apapun bakal terjadi, kami masih ada beberapa perlawanan untuk dihadapi. Saya hanya boleh memberikan fokus kepada perlawanan dan prestasi saya. Dan sudah tentu saya tidak boleh mengawal apa Salah akan lakukan.”
“Sebagai seorang penyerang, ia pasti perkara yang hebat untuk memenangi Anugerah Kasut Emas sekali lagi. Saya hanya mampu terus bekerja keras di antara sekarang sehingga ke akhir musim,” jelas Kane kepad Sky Sports.
Impian Kane mungkin boleh dibantu dengan jaringan ketika menentang Stoke pada hujung minggu lalu. Bagaimanapun jaringan tersebut kemudiannya dikreditkan kepada Cristian Eriksen.
Penyerang berusia 24 tahun itu yakin bahawa sepakan percuma Eriksen terlebih dahulu menyentuh bahu beliau, sebelum ianya menerjah masuk menewaskan penjaga gol Stoke, Jack Butland.
Untuk itu, Tottenham Hotspur boleh memutuskan untuk melakukan rayuan agar gol tersebut dianugerahkan kepada Kane.