Quantcast

BERITA

Kane Perlu Tinggalkan Spurs Untuk Menang Trofi – Rio Ferdinand

Kapten England, Harry Kane perlu mempertimbangkan untuk meninggalkan Tottenham Hotspur demi mencerahkan peluang untuk memenangi trofi dalam kerjayanya, kata bekas pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand.

Kane telah pun membuktikan dirinya merupakan antara penyerang terbaik di dunia dengan rekod 130 gol dari 185 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) buat Spurs.

Malangnya, statistik itu gagal diterjemahkan dengan kejayaan menjulang sebarang trofi kejuaraan utama sepanjang beliau mewakili kelab utara London tersebut. Spurs kini 10 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool selepas tujuh perlawanan.

Situasi dilihat semakin buruk selepas skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu teruk dibelasah dalam kekalahan 7-2 kepada Bayern Munich di tempat sendiri dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah.

“Ia mendorong saya untuk menasihati Harry Kane. Apa tujuan kamu bermain bola sepak? Kamu mahu menjadi pemain dengan satu kelab atau mahu memenangi trofi? kata Ferdinand kepada BT Sport.

“Kemudian kamu tanya lagi diri kamu soalan seterusnya, adakah Spurs mampu dilihat sebagai kelab yang berupaya untuk memenangi sebarang kejuaraan? Jawapan saya tidak. Saya rasa Spurs adalah pasukan yang lebih baik pada dua tahun lepas.”

Ferdinand berhadapan dengan persoalan yang sama pada permulaan kariernya dan akhirnya beliau memilih untuk meninggalkan Leeds United dan menyertai Manchester United pada 2002.

Keputusannya itu ternyata berbaloi apabila sepanjang khidmatnya di Old Trafford, beliau berjaya mengumpul enam kejuaraan EPL dan turut menjulang Piala Liga Juara-Juara Eropah.

Kredit Foto: TalkSPORT

“Saya ada peluang untuk keluar [Leeds United]. Saya segera membuat keputusan dan menang trofi kejuaraan,” tambah Ferdinand lagi.

“Harry Kane harus memikirkan perkara ini dengan sebaiknya Dia perlu menjawab setiap persoalan tersebut. Dia sudah berusia 26 tahun dan peluang itu datang dalam bentuk sebuah tingkap.

“Tingkap itu semakin mengecil. Jangan tunggu terlalu lama kerana jika lambat ianya akan hilang”