Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Hector Bidoglio enggan memandang rendah keupayaan lawan mereka untuk aksi Liga Super 2024/2025 seterusnya membabitkan kelab tersebut menentang Perak.
Terdahulu, JDT meneruskan reputasi mereka selaku antara pasukan gergasi Asia selepas kejayaan menewaskan Shanghai Shenhua pada aksi kedua AFC Champions League Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor.
Beraksi di laman sendiri, JDT mempamerkan kualiti permainan cukup ampuh untuk mengetepikan wakil dari China itu menerusi kemenangan 3-0, sekali gus membanggakan para peminat.
Momentum positif itu menyaksikan mereka dijangka bakal meraih kemenangan seterusnya menentang Perak dalam kalangan segelintir peminat.
Namun begitu, Bidoglio tetap tampil berwaspada dengan beliau mengambil pendekatan berhati-hati untuk menghadapi cabaran pasukan tuan rumah.
Demi memastikan momentum kemenangan tersebut diteruskan, Hector tampil dengan perancangan strategi terbaik untuk mengatasi skuad kendalian Yusri Che Lah hari ini.
“Ia perlawanan penting bagi kami kerana mahu mengekalkan momentum kemenangan namun kami tetap berwaspada dengan taktik permainan Perak FC.
“Mereka sudah menang tiga perlawanan lalu dan moral mereka juga tinggi untuk berusaha menidakkan kemenangan kami. Tapi kami akan turun dengan lebih dinamik dan mengekalkan intensiti permainan tinggi,” kata beliau menerusi Harian Metro.
Antara bakal dibawa turun pada aksi hari ini pastinya terarah kepada bintang Harimau Malaya iaitu Arif Aiman Hanapi yang tampil menyerlah ketika mengharungi saingan ACLE lalu.
Malah, pemain import dari Brazil iaitu Bergson da Silva juga dijangka bakal menjadi pertaruhan utama Bidoglio demi memastikan jentera serangan mereka kekal ampuh.
Pada masa sama, Bidoglio juga mahu para pemainnya tampil berwaspada akan kualiti pemain import pasukan lawan iaitu Luciano Guaycochea yang tampil selaku nadi utama kekuatan pasukan itu sejak beberapa musim lalu.
Malah, pemain seperti Sunday Afolabi juga antara menjadi perhatian jurulatih itu yang dianggap sangat ampuh serta mampu menggerakan jentera tengah.
Pada pandangan anda, pasukan mana bakal mencipta kemenangan sekali gus meraih tiga mata penuh di Ipoh?