Taktikal menyimpan taring sebelum perhitungan menentang Indonesia ternyata membuahkan hasil selepas skuad kendalian Osmera Omaro menjadikan skuad muda Garuda sebagai pasukan belasahan untuk muncul juara kumpulan kelayakan Piala Asia B-17 selepas menang 5-1 dalam perlawanan terakhir.
Bagi Osmera, ketika menentang Guam perancangan awalnya sememangnya mereka hendak menang tapi hanya dengan jaringan kecil sahaja tidak seperti mana pasukan lain yang mencatat kemenangan besar.
“Boleh kata kita sengaja tidak mahu menunjukkan kebolehan sebenar lawan Guam. Cuma saya boleh bagitau di sini kita tidaklah hendak seri kita nak menang 1-0, kebetulan bola terakhir Guam itu masuk pula” katanya.
Pendekatan ini sudah pasti memberi harapan palsu kepada pasukan lawan agar mereka memikirkan bahawa skuad muda Harimau Muda ini mudah dijinakkan apabila mereka bertemu.
Ternyata psikologi dari Malaysia ini menjadi apabila Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia menjadi mangsa serta terus menindakkan peluang mereka untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia B-17 tahun hadapan.
Ketua jurulatih itu turut berkata mereka sememangnya sudah lama menunggu saat itu kerana segala perancangan yang dilakukan sangat menjadi.
“Kita tahu kebolehan pemain ini dan saya juga ucapan tahniah kepada Indonesia kerana mereka adalah satu pasukan yang sangat bagus cuba mungkin hari ini nasib kurang baik,” kata Osmera.
Beliau turut memuji barisan pemainnya kerana telah beri yang terbaik dan mengikut arahan seperti dirancang sebelum perlawanan.
Permainan yang menjadi dalam perlawanan tersebut menyebabkan skuad muda Indonesia terperangkap dengan cara permainan Malaysia dan Osmera turut akui mereka pasukan Indonesia memang kuat kerana itu mereka sudah lama memerhatikan pasukan ini.
Disebabkan itu, para pemain telah bekerja keras bagi mengenal pasti bahagian yang boleh pemain melakukan serangan untuk mendapatkan jaringan.
Biar pun dicemuh oleh segelintir peminat ketika seri menentang Guam, ia tidak menghalang pemain muda ini mempamerkan aksi terbaik berbaki dua perlawanan terakhir.
Bagi pengendali berusia 43 tahun ini, beliau turut menjelaskan apa yang terjadi di Kejohanan AFF B-16 2022 baru-baru ini selepas mereka tidak layak ke separuh akhir.
Dalam kejohanan tersebut, Malaysia tidak tewas dalam tiga perlawanan apabila mencatat satu kemenangan dan dua keputusan seri namun format pertandingan seperti itu membuatkan skuad kendaliannya terpaksa akur terkandas di peringkat kumpulan.
“Di kejohanan AFF semua mungkin sudah lupa kita tidak kalah mana-mana perlawanan dan ketiga-tiga perlawanan, prestasi itu hampir seperti ini cuba kita tidak menjaringkan gol dan kita kesilapan di belakang dan kita bocor.
“Jadi prestasi itu konsisten tapi ini adalah bola ini bulat kadang-kadang benda itu menjadi kadang-kadang kita kurang bernasib baik dan ini juga anak-anak muda remaja yang masih belajar,” tambahnya.
Kekurangan dan kesilapan di Kejohanan Remaja AFF B-16 itu telah dibetulkan dan ditambah baik untuk Kelayakan Piala Asia B-17.
Apa yang dilakukan oleh Osmera itu ternyata menjadi dan telah mendapat keputusan sangat positif.