“Kami Faham Perasaan Kamu Sahabat” – Stadium Rajamangala Juga ‘Mangsa’ 3 Konsert Mega Termasuk Blackpink

Stadium Rajamangala Thailand konsert

Penyokong Thailand sangat faham perasaan marah penyokong Harimau Malaya tentang situasi stadium yang akan digunakan untuk konsert.

Mereka juga melalui situasi yang sama di mana stadium utama mereka, Stadium Rajamangala juga tidak dapat digunakan untuk Piala AFF kali ini. Nasib Malaysia lebih baik apabila masih dapat menggunakan sebahagian besar daripada stadium untuk kejohanan dwi tahunan tersebut nanti.

FA Thailand (FAT) terpaksa mengalih lokasi kejohanan kali ini ke Stadium Thammasat disebabkan Rajamangala telah ditempah untuk konsert. Ia akan digunakan sehingga pentas final – jika Thailand berjaya mara ke final.

Pihak stadium tidak dapat memberikan kelulusan disebabkan terdapat tiga konsert mega akan berlangsung di sana bermula daripada Disember 2022 sehingga awal Januari 2023 dan padang dijangka sukar untuk diselenggara.

Penyokong Malaysia saat ini sedang merungut disebabkan 21,000 keping tiket dikorbankan akibat sebahagian stadium tidak boleh digunakan. Ini kerana, difahamkan konsert Jay Chou dijangka akan berlangsung pada 15 Januari dan salah satu sudut stadium terpaksa dikosongkan untuk pentas.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan sebanyak 59,000 keping tiket disediakan dan ia telah pun habis dijual semalam.

Ia jauh kurang daripada kapasiti stadium yang mampu menampung lebih 87,000 penyokong pada satu-satu masa untuk sebarang perlawanan.

Sebelum ini, selaku ‘suara’ kepada penyokong, Ultras Malaya telah tampil membidas pengurusan stadium disebabkannya. “Tak faham lagi ke, Tiada acara yang lebih penting dari Harimau Malaya di Stadium Bukit Jalil,” titip penyokong tegar Harimau Malaya itu di media sosial mereka semalam.

Malah, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh juga tampil melihat situasi tersebut untuk membantu penyokong agar mendapat tambahan tiket.

Namun, segalanya tampak sudah ternoktah apabila beliau menjelaskan yang situasi nampaknya tidak memihak kepada FAM dan Harimau Malaya.

Dua perkara ditekankannya iaitu tempahan untuk konsert tersebut telah dibuat sejak tahun 2019 dan tempoh masa yang lama diperlukan untuk proses pemasangan pentas buat konsert tersebut iaitu selama dua minggu.

Dan apa yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan itu sebenarnya sudah awal-awal dijelaskan oleh seorang penganjur majlis sebegini.

Secara logik orang buat konsert akan sewa venue, dah bayar deposit baru boleh promote konsert dekat venue tersebut,” ciap seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai, @ELMIELMO sebagai pembuka bicara.

Jadual semi & final pulak dah ada awal-awal dari AFF. Cuma taktau leg mana satu je kena dekat home kalau layak. Kalau aku jadi SNBJ, orang nak sewa, aku bagi. Duit masuk lagi penting dari duit tak masuk. Aku mana tau Malaysia akan layak semi. Buatnya Malaysia tak layak? Atau Malaysia layak atau tak layak bukan masalah aku. Aku venue. Bukan penganjur,terangnya lanjut.

Pembaca juga boleh ikuti penjelasan lanjut mengenainya di Twitternya.

Apa yang disampaikannya daripada perspektif lain itu adalah hampir sama dengan apa yang telah diterangkan oleh Hannah Yeoh, lewat petang tadi.

Laman Twitter, All Things Thai Football sebelum itu telah memuat naik ciapan rasa simpati dengan penyokong Harimau Malaya dan mengatakan mereka amat memahami perasaan penyokong di Malaysia khususnya.

Kami faham perasaan kamu, sahabatku. Stadium Rajamangala tidak dapat digunakan kerana rumputnya rosak akibat konsert Maroon 5 bulan lepas. Dan akan ada konsert KPOP pula lagi pada Sabtu ini,” ciap laman itu.

Stadium ini akan digunakan untuk konsert Blackpink pada hujung minggu ini pula,” tambahnya lagi menjelaskan yang mereka juga telah merasainya.

Rajamangala merupakan stadium rasmi skuad kebangsaan mereka dan walaupun ini bukan kali pertama aksi Gajah Perang berlangsung di lokasi lain, ia sebenarnya masih tetap dirasai oleh sebahagian besar penyokong.

Ini kerana, kali terakhir selain Stadium Rajamangala digunakan untuk pentas Piala AFF adalah pada edisi 2012 yang mana dua stadium telah digunakan iaitu Rajamangala dan Stadium Supachalasai – juga di Bangkok.

Thailand akan berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk aksi pertama separuh akhir Piala AFF 2022 pada Sabtu ini sebelum aksi timbal balik akan berlangsung di Stadium Thammasat pula pada Selasa depan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN