Pengendali utama Harimau Malaya iaitu Kim Pan-gon tampil bersemangat untuk kembali mencipta kebangkitan pada aksi kedua Piala Asia 2023 peringkat Kumpulen E berdepan cabaran Bahrain.
Jelas Kim, beliau sudah pun menganalisa perlawanan lalu dan melihat semula apa perlu diperbaiki serta berkongsi semula bersama para pemain untuk perbetulkan semula kesalahan sebelum itu.
Malah beliau juga sudah pun membuat perancangan untuk aksi esok bermula sejak semalam dan kini bersedia untuk perlawanan tersebut menentang cabaran pasukan lawan.
“Perlawanan lalu merupakan sesuatu sangat sukar dan kami kalah dengan jumlah jaringan agak besar dan pastinya moral pemain sangat jatuh malah saya sendiri juga sangat kecewa.
“Tetapi inilah kehidupan bola sepak, kami perlu biasakannya dsn kami tak akan menang setiap perlawanan dilalui dengan adakala kami akan berdepan situasi seperti ini dan kami perlu biasakannya dan mengawal diri.
“Pemain kami semua adalah profesional dan sangat matang untuk mengawal situasi seperti ini dan inilah keistimewaan pemain Malaysia yang mempunyai kekuatan mentaliti.
“Saya percaya para pemain ini akan kembali dengan lebih kuat untuk menunjukkan kembali kepada orang ramai kekuatan mental mereka pada hari esok,” jelas Kim menerusi perkongsian dibuat Astro Arena di Youtube.
Pada masa sama, pengendali dari Korea Selatan itu juga menyatakan mereka hadir ke Piala Asia untuk memenangi setiap perlawanan dalam aksi Piala Asia 2023.
“Kami melihat setiap perlawanan bakal dilalui dan merancang untuk memenangi setiap daripadanya kerana kami datang sini bukan untuk seri atau tewas terutama sekali untuk aksi hari esok.
“Ini kerana aksi hari esok merupakan sesuatu sangat kritikal untuk dilalui. Ianya sangat penting buat kami hari esok dan kami optimis untuk aksi tersebut dengan memenangi Bahrain, malah Korea Selatan juga kami menyasarkan untuk menang.
“Walaupun ia mempunyai jarak kekuatan sangat jauh, ianya tetap ada cara untuk memenangi aksi tersebut dan kami semua mempunyai perancangan untuk kekal menang,” ujar Kim lagi.
Malaysia bakal menghadapi aksi kedua menentang Bahrain pada hari esok dan dijangka aksi lebih getir bakal dilalui oleh Kim serta para pemain skuad kebangsaan.
Kami di Semuanya BOLA berharap supaya Kim mampu untuk menjulang maruah bola sepak Malaysia pada hari esok di pentas Asia bersama aksi lebih menyakinkan.