Kalau Tidak Nor Azam Azih Mungkin Kini ‘The Speedy Tigers’

nor azam azih sukan sea 2017

Musim 2019, Nor Azam Azih mula menempatkan diri dalam majoriti aksi skuad negara menjadikannya antara tonggak utama Harimau Malaya dan siapa sangka beliau pada awalnya merupakan pemain hoki di SMK Seberang Temerloh.

Anak peneroka kelahiran Jengka 21, Pahang itu tidak pernah bercita-cita menjadi pemain bola sepak profesional, jauh sekali menyarung jersi pasukan negara apabila bakatnya lebih terserlah dalam sukan hoki sepanjang di bangku sekolah rendah.

Malah, beliau telah mewakili Pahang untuk pertandingan hoki dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) serta berkata kepada Harian Metro pernah bercita-cita untuk menjadi pemain hoki skuad kebangsaan, Speedy Tigers.

Tetapi segalanya berubah apabila beliau memasuki Tingkatan 2 di sekolah sukan tersebut apabila Cikgu Adnan yang merupakan jurulatih pasukan bola sepak sekolah telah memintanya bertukar kepada bola sepak dan beliau telah mengikutinya.

Jadi, jika ditanya siapakah individu penting yang dikenang Nor Azam Azih sepanjang karier bola sepaknya daripada bangku persekolahan sehingga kini, pastinya nama Cikgu Adnan tidak akan lekang daripada kata pujian dari butir kata mulutnya.

“Selalunya, saya hanya bermain bola sepak untuk mengisi masa lapang bersama kawan-kawan selepas selesai menjalani latihan hoki. Malah, kejayaan saya menempatkan diri di sekolah sukan itu atas ‘tiket’ hoki,” ujar Nor Azam Azih.

“Tapi, ketika di Tingkatan 2, Cikgu Adnan yang merupakan jurulatih pasukan bola sepak di sekolah itu meminta saya meninggalkan hoki serta memberi tumpuan kepada bola sepak,” jelasnya dan berkata sejak itu hoki jadi sukan sampingannya.

Ketika ditanyakan bagaimana beliau boleh bermain bersama skuad Piala Presiden Pahang, nama rakannya pula akan sentiasa diingatinya apabila menjadi insan yang telah mengajaknya ke pemilihan skuad tersebut selepas tamat persekolahan.

“Suatu hari, ketika sedang memancing, rakan saya, Ilham Yusof, mengajak saya ke Kuantan untuk menyertai skuad Piala Presiden Pahang,” ujarnya sambil berkata yang memancing atau membantu ayahnya di ladang menjadi aktivitinya ketika itu.

“Saya sangka untuk ujian pemilihan tapi apabila sampai di sana, jurulatih pasukan itu, Azaruddin Aziz terus menyenaraikan nama saya,” ceritanya lagi yang kemudian telah menjadi tonggak Harimau Muda B di S-League, Singapura pada 2014.

KREDIT FEATURED IMAGE: NSTP/ASYRAF HAMZAH

Leave a Reply