Kuala Lumpur City (KL City) malam ini akan berdepan dengan PSM Makassar untuk perebutan gelaran juara zon ASEAN untuk Piala AFC.
Sepak mula yang akan bermula pada 9 malam di Stadium KLFA bakal menjadi perlawanan terbesar dalam sejarah kelab dan ini adalah masa untuk skuad Bojan Hodak tidak boleh tersungkur.
Perlawanan malam ini mungkin tidak diadakan di stadium besar dengan jumlah penyokong yang mencecah puluhan ribu, tetapi ianya diadakan di laman mereka sendiri jadi kelebihan pasti memihak KL City.
Kejayaan yang diperoleh KL City malam ini akan membuka pelbagai lembaran buat pasukan Lembah Klang ini. Selain daripada dapat meneruskan cabaran di peringkat Asia, reputasi kelab akan semakin meningkat.
Selain itu, KL City akan terus dihormati sebagai antara pasukan yang digeruni dalam saingan tempatan dan antarabangsa. Mungkin mereka tidaklah pencabar utama Liga Super, tetapi kehadiran mereka pasti akan menyukarkan pihak lawan (terutamanya Selangor).
Apa yang berlaku sekarang jelas sekali seperti servis bertukar tangan. Selangor yang sudah lama menjadi ‘abang besar’ di Lembah Klang kini terpaksa tunduk kepada skuad Warga Kota yang berada di puncak mahligai ketika ini.
Ini menjadi petanda besar yang Selangor perlu melakukan sesuatu dengan pantas untuk kembali setara atau lebih baik dengan musuh tradisi mereka.
Jika mereka berjaya menjadi juara zon ASEAN, KL City akan lebih dipandang serius oleh kelab-kelab tempatan dan serantau.
Mereka mungkin tidak lagi dipandang sebagai pasukan kerdil yang tidak ramai penyokongnya. Walaupun mungkin kecil dari segi bilangan penyokong, tetapi prestasi atas padang cukup hebat.
Musim KL City dalam saingan domestik kali ini mungkin tidaklah begitu hebat, tetapi mereka boleh meraikan sesuatu di peringkat Asia.
Sebagai wakil tunggal negara yang tinggal, mata pastinya tertumpu kepada KL City malam ini untuk mencipta kejayaan layak ke pusingan seterusnya sebagai juara zon ASEAN.
Cabaran dari Makassar malam ini pastinya tidak mudah, tetapi dengan pendekatan dan taktikal yang betul pastinya akan membuatkan hasil yang gemilang buat KL City malam ini.
Semoga berjaya, Warga Kota!