Gara-gara kerana gagal melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan untuk saingan Liga Malaysia, Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengenakan hukuman denda RM1.5 Juta kepada 4 pasukan Liga Super yang terlibat. Salah satu daripada pasukan itu ialah Kelantan.
Mengulas mengenai hukuman itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengemukakan rayuan kepada FMLLP bagi mengurangkan denda yang dikenakan ke atas mereka.
Mereka juga akan berusaha melengkapkan dokumen yang diperlukan dalam tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan oleh pihak FMLLP.
Malah Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan sendiri akan ‘turun padang’ meneliti dan melengkapkan semua dokumen itu.
“Terima kasih kepada FMLLP dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana masih lagi membuka peluang untuk mengemukakan rayuan bagi mengurangkan hukuman terbabit.
“KAFA sudah meneliti beberapa perkara terutama membabitkan dokumen kewangan yang diperlukan FMLLP yang mana saya sendiri akan sedaya upaya menyelesaikan dalam tempoh yang ditetapkan mereka.
“Hal ini menjadi berlanjutan susulan banyak perkara di antaranya membabitkan dokumen lama yang bukan di bawah kelolaan pentadbiran KAFA yang baru. Namun saya yakin dan Insya-Allah ia akan diselesaikan sebaik mungkin,” katanya kepada Berita Harian.
Selain melakukan rayuan, Bibi Ramjani turut mengesahkan KAFA akan melakukan rundingan dengan FMLLP bagi berbincang mengenai masalah yang timbul kerana ada perkara yang sukar diselesaikan.
“Jika ada beberapa perkara lain lagi masih gagal dipenuhi, saya akan berunding dengan FMLLP bagi menjelaskan sebabnya.
“Ini memandangkan pengurusan baharu mengambil alih persatuan ini sejak lima bulan lalu, sudah tentu masih banyak perkara yang tertinggal dan perlu belajar untuk masa akan datang.
“Bagaimanapun, KAFA tetap akan berusaha semampunya dan bekerjasama dengan FMLLP dan FAM demi kemajuan bola sepak,” katanya.
Tindakan hukuman denda itu diperkenalkan sebagai penangguhan hukuman pemotongan mata yang mana rayuan untuk mengurangkan hukuman itu turut dibuka kepada pasukan terbabit dan perlu dikemukakan dalam tempoh 14 hari.