Lagenda hidup Chelsea, Gianfranco Zola mendedahkan yang Eden Hazard dan Willian antara pemain yang ‘sengsara’ dengan kaedah latihan oleh Maurizio Sarri.
Sarri tiba ke Stamford Bridge pada 2018 daripada Napoli dengan anggapan ramai yang kelab tersebut akan mempamerkan cara permainan yang menarik di bawahnya. Bersama Napoli ratio kemenangannya adalah sangat baik iaitu 66 peratus.
Zola telah bekerja sebagai pembantu Sarri pada musim tersebut yang menyaksikan mereka akhirnya memenangi satu gelaran iaitu juara Europa League selain berjaya meraih kedudukan empat terbaik dalam saingan English Premier League (EPL).
Ratio kemenangannya bersama The Blues juga baik iaitu 61.9 peratus iaitu meraih 39 kemenangan daripada 63 perlawanan. Namun, atas sebab-sebab tertentu, akhirnya Sarri meninggalkan Chelsea dan menyertai Juventus untuk saingan musim 2019.
Selain sistem latihan yang teruk, Zola turut menyatakan dalam temuramah bersama beIN Sports itu yang walaupun pada awalnya pemain mengikut segala arahan yang diberikan barisan jurulatih, namun akhirnya mereka mula berasa bosan.
Latihan yang berulang, membosankan, tiada kepelbagaian, tidak menyeronokkan antara perkara utama yang telah dilalui oleh para pemain pada ketika itu.
“Pada awalnya, pemain mengikut segala arahan yang kami berikan dan mereka sangat bagus. Tetapi selepas beberapa minggu dan melalui banyak perlawanan dengan cara latihan yang sama, pemain mula berasa penat dan bosan,” ujarnya.
“Tetapi berasa bosan itu adalah sebahagian daripada pekerjaan pemain. Adakalanya anda perlu merasai bosan itu dan apabila anda bosan, akan akan terus bertahan dengan apa yang dilakukan sehingga anda menjadi pemain yang bagus.
“Saya masih ingat, ketika mula belajar mengenai bola sepak, sebagai contoh belajar membuat tendangan, saya selalunya perlu membuat 300 hingga 400 sepakan dalam sehari,” jelasnya yang meninggalkan Chelsea apabila Frank Lampard tiba.
Zola turut mengakui yang beliau terpaksa berhadapan dengan persoalan mengapa ‘kurang kretiviti’ dikalangan pemain Chelsea akibat siri ulangan latihan yang sama serta kaedah latihan yang teruk oleh Sarri sepanjang musim tersebut.
“Terdapat pemain-pemain yang berbakat besar seperti Hazard dan Willian, pemain yang tahu untuk memberikan kemenangan kepada pasukan, namun mereka bergelut dengan jenis dan kaedah latihan yang dilakukan,” terang Zola lagi.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES