Kerana Kad Merah, Ronaldo Bakal Digantung Perlawanan Menentang Man Utd?

Cristiano Ronaldo menerima kad merah pertama dalam pertandingan UEFA Champions League dalam penampilan pertama bersama Juventus dalam pertandingan tersebut pada awal pagi tadi.

Tetapi perlawanan manakah Ronaldo akan terlepas akibat pergantungan. Adakah ia melibatkan perlawanan yang ditunggu-tunggu ramai dalam perlawanan menentang Manchester United?

Penyerang antarabangsa Portugal itu dipersalahkan kerana tindakan beliau menarik rambut pertahanan Valencia, Jeison Murillo. Tindakan beliau dalam insiden tersebut menyebabkan pengadil terus melayangkan kad merah.

(Photo by VI Images via Getty Images)

Juventus tetap menang perlawanan tersebut dengan jaringan 2-0 tanpa Ronaldo.

Mengapakah tempoh pergantungan Ronaldo menjadi pertanyaan ramai peminat bola sepak?

Peraturan pertandingan

Kebanyakkan pertandingan liga dan di dunia akan mengenakan pergantungan tiga perlawanan akibat layanan kad merah. Ini termasuklah pertandingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Manakala dua layangan kad kuning yang bersamaan dengan satu layangan kad merah akan dikenakan pergantungan secara automatik satu perlawanan.

(Photo by Jeroen Meuwsen/Soccrates/Getty Images)

Namun dalam pertandingan anjuran UEFA seperti UEFA Champions League, peraturan sedemikian tidak akan digunapakai.

Sebaliknya jumlah pergantungan perlawanan akan berdasarkan kes, dan siasatan oleh jawatankuasa pertandingan UEFA.

Kad merah Ronaldo

Di dalam kes Cristiano Ronaldo, hukuman gantung satu perlawanan adalah hukuman minima yang akan diterima oleh bekas penyerang Real Madrid itu.

Namun Artikel 50.1 jawatankuasa pertandingan UEFA turut menyebut, ‘mana-mana kes yang dianggap serius, maka badan disiplin UEFA berhak untuk menambah jumlah pergantungan atau denda.’

Ini bermakna Ronaldo sudah pasti tidak akan beraksi dalam perlawanan peringkat kumpulan seterusnya menentang wakil Switzerland, Young Boys pada 2 Oktober hadapan. Hukuman pergantungan satu perlawanan ini tidak boleh dirayu, dan wajib dijalani oleh Ronaldo.

Jika UEFA mendapati kesalahan oleh Ronaldo lebih serius, hukuman pergantungan dua perlawanan akan menyebabkan Ronaldo terlepas aksi menentang Manchester United pada 23 Oktober hadapan.

(Photo by Daniele Badolato – Juventus FC/Juventus FC via Getty Images)

Pergantungan terhadap Ronaldo juga mungkin boleh ditambah sehingga tiga perlawanan, yang turut menyaksikan Ronaldo bakal terlepas perlawanan menentang Manchester United di Turin pada 7 November.

Ini bermakna Ronaldo tidak akan berhadapan dengan Manchester United di peringkat kumpulan UEFA Champions League pada musim ini jika situasi di atas berlaku.

Apa kemungkinan lain?

UEFA berkemungkinan akan menambah jumlah pergantungan terhadap Ronaldo, selepas pemain itu sendiri mengambil masa terlalu lama untuk meninggalkan padang selepas arahan diberikan.

Sebarang penambahan hukuman daripada jumlah asal satu pergantungan, akan membenarkan Juventus untuk melakukan rayuan.

Contoh kes

Ada beberapa contoh kes yang boleh menjadi rujukan mengenai hukuman layangan kad merah dalam pertandingan UEFA Champions League.

Bekas penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon misalnya digantung tiga perlawanan selepas insiden bersama pengadil di peringkat suku akhir menentang Real Madrid pada musim lalu.

Kad merah yang diterima oleh Dele Alli dalam perlawanan menentang Gent di pertandingan UEFA Europa League pada Fenruari 2017 menyebabkan pemain antarabangsa England itu terlepas tiga perlawanan untuk Spurs di pertandingan Champions League pada musim berikutnya.

Manakala layangan kad merah yang diterima oleh pemain pertahanan Spurs, Jan Vertonghen dalam perlawanan menentang
Borussia Dortmund pada September 2017 ditukar kepada kad kuning oleh UEFA.

(Photo by Craig Mercer – CameraSport via Getty Images)

Di dalam kes Vertonghen, UEFA percaya layangan kad merah tersebut adalah kerana kesilapan teknikal oleh pengadil.

Semuanya bergantung kepada jenis kesalahan, dan juga laporan akhir yang diserahkan oleh pengadil kepada UEFA.

Apa kata mereka?

Rio Ferdinand dan Darren Fletcher mempunyai pandangan mereka dalam kes kad merah yang diterima oleh Ronaldo.

Bagi kedua-dua bekas pemain itu, Ronaldo sepatutnya dihukum hanya dengan satu pergantungan, dan dibenarkan untuk berhadapan dengan Manchester United dalam dua perlawanan timbal balik.

Bekas penyerang Blackburn Rovers dan England, Chris Sutton berpendapat sebaliknya.

Sutton berpendapat ia adalah kesilapan dari Ronaldo sendiri yang gagal mengawal emosi.

Tanpa mengira kesalahan tersebut berat atau tidak, ia tetap satu kesalahan yang wajar dihukum dengan layangan kad merah.

Penutup

Apa pun nasib Ronaldo dengan hukuman yang bakal dihadapi oleh beliau, kebanyakkan akan bergantung kepada laporan yang akan diserahkan oleh pengadil kepada pihak UEFA.

Apa pendapat anda? Wajarkah layangan kad merah itu diberikan kepada Ronaldo? Wajarkah hukuman ditambah atas kesalahan tersebut?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN