Kali terakhir PKNS FC tewas adalah pada minggu ke-2 Liga Super Malaysia (MSL) 2019 selepas tunduk kepada Melaka United 0-1 dan malam tadi mereka tunduk pula kepada PJ City FC, juga dengan keputusan yang sama dalam aksi ke-7 liga.
10 mata dalam 4 perlawanan selepas kekalahan kepada Melaka United itu akhirnya terhenti apabila Aizulridzwan Razali berjaya meledak satu-satunya gol dalam perlawanan tersebut untuk menghadiahkan 3 mata berharga buat PJ City FC.
Datuk K. Rajagobal yang ditemui ketika sesi post-match reaction menjelaskan beberapa faktor dilihatnya yang menyumbang kepada kekalahan skuad kendaliannya di Stadium MBPJ pada malam ini.
PKNS FC menguasai perlawanan namun tidak memanfaatkannya untuk meneruskan rentak kemenangan mereka kepada 5 perlawanan berturut-turut apabila gagal menyudahkan peluang.
“Kita bermula dengan baik, pergerakan dan kombinasi yang bagus. Cuma kita nampak di babak pertama dan kedua, kita tidak cukup agresif dan juga masalah penyudah (tumpul).
“Dan di babak kedua, kita boleh nampak PJ City kembali bangkit dan beri kita sedikit masalah. Dalam masa yang sama, kita juga mendapat peluang tetapi ia tidak dimanfaatkan,” ujarnya.
Antara peluang yang didapati oleh PKNS FC adalah menerusi penyerang Faizat Ghazli dan juga Gabriel Guerra.
Menurut bekas pengendali skuad kebangsaan itu lagi peluang-peluang yang didapati gagal dimanfaatkan atas sebab mereka tiada pemain yang berlari di belakang pertahanan lawan disamping memberi tekanan kepada benteng PJ City FC.
Rajagobal turut menyatakan yang intensiti dan juga momentum pasukannya dilihat tidak seperti sebelum ini. Barangkali rehat yang panjang telah menjejaskan rentak keseluruhan PKNS FC.
“Pada hari ini, intensiti permainan juga seperti yang kita nampak tidak sebagaimana yang kita selalu bermain. Dan itulah punca, mungkin, hari ini kita punya momentum tidak berapa (menjadi) seperti sebelum ini,” tambahnya lagi.
Lebih memeritkan adalah apabila pemain tengah mereka, Romel Morales gagal menjaringkan gol menerusi sepakan penalti apabila Mohd Muhaimin berjaya menyelamatkan sepakannya.
Dengan kekalahan tersebut, PKNS FC gagal memintas kedudukan Kedah yang hanya mencatatkan keputusan seri pada hari sebelumnya – dengan kekurangan 1 mata di kedudukan ke-4 liga.