Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal menganggap keputusan seri menentang Kedah sebagai keputusan yang baik untuk pasukannya.
Bercakap kepada Stanley Bernard ketika ditemuramah selepas tamat perlawanan, K. Rajagobal berkata:
“Ya jika kamu perhatikan perlawanan ini, pada separuh masa pertama kami bermain sangat baik, kami menggerakkan bola dengan baik. Kami tahu mereka [Kedah] akan menyerang dan kami cuba kejutkan mereka [dengan serangan balas]. Kami mencipta beberapa peluang pada separuh masa pertama.”
Datuk K. Rajagobal memuji prestasi pasukan beliau terutama sekali ketika bertahan. Ini kerana menurut K. Rajagobal, PKNS bertahan dengan kental, berjaya menghadapi pelbagai situasi dan hantaran-hantaran oleh pemain Kedah termasuk beberapa hantaran diagonal.
Datuk K. Rajagobal menjelaskan beliau terpaksa menukar taktikal pada separuh masa kedua kerana ancaman daripada Rizal Ghazali dan juga Syahrul Azwari. Datuk K. Rajagobal menganggap 2 pemain itu sebagai pemberi masalah besar kepada pasukannya.
Selepas melihat pasukan Kedah menaikkan intensiti untuk menyerang, K. Rajagobal terpaksa akur dengan kualiti pasukan beliau yang sukar besaing. Lantas beliau mulai mengarahkan anak-anak buahnya untuk cuba mempertahankan 1 mata.
“Pada separuh masa kedua, kami tidak cukup ‘depth’ untuk melakukan serangan [seperti separuh masa pertama.”
Ketika Kedah hilang seorang pemain, Datuk K. Rajagobal memutuskan untuk tidak menggunakan pemain ekstra beliau untuk serangan. Sebaliknya beliau memasukkan seorang lagi bek tengah untuk membantu menutup ruang.
Beliau menambah: “Sudah tentu saya sedar kami ada kelebihan seorang pemain dalam 3 minit terakhir, namun saya rasa tidak mengapa, kami rela membawa 1 mata, fokus kepada disiplin bertahan dan tidak mahu bolos.”
PKNS FC berjaya mengikat Kedah 0-0 di Stadium Darul Aman. Keputusan yang dianggap oleh K. Rajagobal sebagai positif. Ini kerana beliau sudah menetapkan dari awal, sebarang mata dari Alor Star adalah bonus.