K. Devan: Tiada Masalah Dengan Penundaan Perlawanan Bertemu JDT, Persiapan Pasukan Tidak Terjejas

K. Devan

Ketua jurulatih Petaling Jaya City FC (PJ City) K Devan tidak menganggap penundaan perlawanan berdepan Johor Darul Takzim (JDT) malam ini memberi kesan negatif kepada pasukan sebaliknya menerima keputusan daripada Malaysian Football League (MFL) kerana mengambil kira aspek kesihatan.

Perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin ditunda ke tarikh baharu iaitu 16 Julai ekoran masalah kesihatan yang melanda sebahagian besar pemain dan pegawai JDT selepas disahkan dijangkiti virus influenza berdasarkan laporan penuh doktor perubatan mereka.

Jelas Devan, masalah kesihatan seperti itu tidak boleh dielakkan dan melihat penangguhan perlawanan ini daripada aspek positif dengan berharap keadaan akan kembali pulih.

“Tiada masalah daripada pihak kami dan saya menghormati keputusan yang telah dibuat kerana kita tiada pilihan apabila melibatkan faktor kesihatan ini.

“Saya sebagai jurulatih tetap positif dan persiapan pemain-pemain saya tetap berjalan seperti biasa dan tidak rasa terjejas pun gara-gara penundaan perlawanan ini.

“Paling penting adalah tahap kesihatan kerana perkara seperti ini susah nak elak dan saya harap semuanya akan kembali normal”, jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, menerima keputusan MFL untuk mengubah aksi dengan JDT diawalkan satu hari iaitu pada 14 Julai kepada 13 Julai bagi membolehkan JDT memiliki tempoh rehat dua hari sebelum bertemu PJ City.

Tambahnya, isu kesihatan antara perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh mana-mana pihak dan atas semangat kesukanan mereka menyokong penuh keputusan untuk mengubah tarikh perlawanan itu.

“ Di pihak KLFA, kami prihatin dengan masalah dihadapi JDT dan saya tidak ada masalah untuk menerima keputusan ditetapkan MFL kerana sememangnya wajar beri sedikit ruang kepada JDT kerana ini adalah isu kesihatan, tidak boleh pandang ringan

“ Ada hikmahnya juga aksi kami ditetapkan pada 13 Julai, sekurang-kurangnya kami akan bermain serentak dengan dua lagi pasukan yang sedang bersaing di zon penyingkiran iaitu PKNP dan Felda.

“Maka, fokus pemain tidak akan terasa terganggu sekiranya ketahui keputusan dua pasukan itu lebih awal, jadi ada baiknya bermain pada waktu serentak iaitu pada Sabtu, ” katanya.

Dalam masa yang sama, penyokong daripada kedua-dua pasukan itu semestinya memahami situasi yang sedang berlaku sambil menyifatkan masalah kesihatan yang dialami oleh beberapa pemain dan pegawai JDT itu tidak boleh diambil ringan.

“Kami tetap menghormati pasukan JDT dan penangguhan perlawanan ini adalah wajar jika dilihat daripada faktor kesihatan mereka.

“Apa yang penting, kita harapkan kesembuhan mereka secepat mungkin dan keadaan kembali pulih seperti biasa,” kata salah seorang penyokong PJ City, R.Ashvin

“Terima kasih kepada penyokong PJ City juga kerana faham situasi di Johor Bahru dan sama-samalah kita doakan agar pemain dan pegawai JDT yang terlibat sembuh sepenuhnya”, kata wakil Boys of Straits (B.O.S), Isfarihin Johari.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN