Sentuhan K. Devan bersama MISC-MIFA di kempen Piala Malaysia 2018, terus menjadi.
Setelah mengejutkan JDT 2-1 dalam perlawanan pertama Kumpulan C minggu lalu di Larkin, MISC-MIFA meneruskan langkah kemenangan dengan membenam satu lagi cabaran pasukan Liga Super, Kelantan.
Perlawanan diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
MISC-MIFA yang turun beraksi sebagai tuan rumah mendahului anak buah Yusri Che Lah pada minit ke-25 perlawanan melalui penyerang import yang berasal dari Liberia, Kpah Sherman.
Tersentak dengan gol lawan, Kelantan turut cuba bangkit dalam perlawanan ini melalui beberapa gerakan berbahaya, namun benteng MISC-MIFA kekal utuh untuk tidak dibolosi.
Babak pertama perlawanan berakhir dengan MISC-MIFA mendahului pasukan pelawat dengan jaringan 1-0.
Tidak banyak perkara boleh diulas di separuh masa kedua perlawanan, tatkala Kelantan dilihat sukar untuk menembusi pertahanan MISC-MIFA yang dikawal kemas oleh gandingan Cristiano Santos dan Mohammad Imran Samso.
Sebaliknya pasukan Kelantan semakin tertekan apabila pasukan tuan rumah menggandakan jaringan melalui J Satrunan pada minit ke-74 perlawanan.
Tiada sebarang gol dijaringkan pada 15 minit terakhir perlawanan, dan keputusan kekal 2-0 dengan kemenangan kedua buat anak buah K. Devan.
Kemenangan ini bermakna MISC-MIFA menerajui Kumpulan C selepas dua perlawanan dengan enam mata, diikuti oleh JDT di tangga kedua dengan 3 mata.
Kedah dan Kelantan yang tewas dalam perlawana kedua masing-masing kekal dengan 1 mata di tangga ke-3 dan ke-4.