Ketua jurulatih PJ City FC, K. Devan memuji barisan pemainnya ketika membenam cabaran Pahang 3-2 pada aksi kedua CIMB Liga Super Malaysia 2020 di Stadium UiTM, Shah Alam malam tadi.
Kemenangan yang diraih cukup dramatik apabila anak buah Devan terpaksa menunggu hingga minit ke-95 bagi mengesahkan tiga mata sulung buat wakil dari Petaling Jaya itu.
Lebih manis, jaringan kemenangan PJ City dihasilkan oleh bekas pemain Pahang, Kogileswaran Raj menerusi sepakan percuma yang gagal dihalang penjaga gol berpengalaman, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.
”Keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan pasukan dan sumbangan yang diberikan oleh para pemain. Pemain saya bekerja dengan sangat keras sepanjang 90 minit.”
”Saya merasakan pertukaran yang dilakukan berjalan dengan baik dan saya boleh katakan ia amat bertuah dan Kogi (Kogileswaran Raj) menjaringkan gol terakhir (kemenangan) itu. Saya gembira dengannya.”
Dalam pada itu, Devan turut memuji gandingan penyerang importnya, Aboubacar Demba Camara dan Washington Brandao yang disifatkannya telah mempamerkan peningkatan prestasi berbanding aksi sulung menentang Felda United FC tempoh hari.
”Ya, berbanding pada aksi pertama, perlawanan ini mereka lebih baik dari segi sumbangan dan ‘work rate’. Sudah tentu, Camara mencipta bantuan jaringan untuk gol kedua dan Brandao membantu gol pertama dihasilkan oleh Camara.
”Mereka bermain dengan lebih baik dan saya merasakan kami mempunyai gandingan serangan yang baik di hadapan,” ujar K. Devan lagi.
Kredit foto: PJ City FC