K. Devan: PKPB Tak Ganggu Persiapan PJ City FC

PJ City FC

Ketua Jurulatih PJ City FC, K Devan menegaskan segala persiapan menjelang TM Piala Malaysia tetap berjalan dengan lancar meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19 terutamanya apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya mulai 14 Oktober lalu.

Jelas Devan, walaupun saingan TM Piala Malaysia musim ini dipinda ke tarikh baharu iaitu 6, 7 dan 8 November, beliau enggan menjadikan perkara itu sebagai beban malah menyifatkan pasukan tetap bersemangat untuk memberi fokus kepada sesi latihan ketika ini.

Di sebalik PKPB yang sedang dilaksanakan di Lembah Klang sehingga 27 November ini, PJ City dalam proses untuk mendapatkan lampu hijau menggunakan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan aktiviti di padang bola sepak bagi tujuan latihan yang terhad kepada 10 orang dalam satu-satu masa.

Sebelum ini, mereka terpaksa melakukan latihan penuh di Negeri Sembilan dan bersyukur apabila kebenaran untuk berlatih di Lembah Klang sudah dibenarkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Walaupun ketika ini masih PKPB, tetapi itu bukan alasan untuk kami tidak melakukan persiapan dan semua pemain memberi kerjasama yang sebaiknya untuk menghadapi TM Piala Malaysia.

“Jadi, kami tetap mencari jalan untuk berlatih di luar Lembah Klang minggu lalu dan sekarang sedang tunggu kebenaran untuk pasukan berlatih di Stadium MBPJ pula selepas pihak kerajaan membenarkan kita melakukan aktiviti di padang bola sepak bertujuan untuk latihan.

“Bukan apa, kita tahu saingan Piala Malaysia adalah kejohanan berprestij dan memang saya nampak kesemua pemain komited untuk melakukan aksi terbaik, jadi walaupun sekarang banyak faktor yang begitu mencabar, saya tetap akan pastikan tiada gangguan-gangguan lain dalam persiapan yang boleh menjejaskan semangat pemain,” jelasnya.

Ini adalah musim ketiga PJ City FC layak beraksi dalam saingan TM Piala Malaysia dan pencapaian terdahulu menyaksikan mereka hanya mampu bertahan di peringkat kumpulan sahaja.

Musim ini dengan format yang berbeza iaitu tanpa peringkat kumpulan, Devan enggan meletakkan sebarang sasaran awal sebaliknya mahu melihat terlebih dahulu siapakah yang akan mejadi lawan mereka untuk mara ke pusingan suku akhir.

“Kita memang ada misi tertentu untuk Piala Malaysia, tetapi saya tak mahu tentukan sasaran terlalu awal sekarang sebab nak tengok dulu sesi undian berlangsung, selepas itu barulah kita boleh agak sejauh mana kita akan mara.

“Kesemua pemain yang ada ketika ini dalam keadaan yang cergas dan tidak berdepan apa-apa masalah kecederaan yang serius, jadi saya rasa mereka pastinya tidak akan menghampakan saya untuk kita lebih bersedia hadapi saingan itu nanti,” tambahnya.

Selepas PKPB dilaksanakan, Malaysian Football League (MFL) membuat keputusan meminda tarikh TM Piala Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 25-26 Oktober ke tarikh baharu iaitu 6, 7 dan 8 November di mana aksi final pula akan diadakan pada 22 November.

Kredit featured image: PJ City FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN