Selepas menukar logo pasukan, kini Juventus menggunakan nama baharu bagi stadium mereka.
Stadium mereka yang dikenali sebagai Juventus Stadium kini telah pun berubah nama apabila ditukar nama kepada Allianz Stadium.
Ia akan digunakan secara rasmi bermula pada 1 Julai ini.
Tujuan perubahan nama ini dilakukan selepas Juventus telah mencapai persetujuan dengan pihak Allianz dan juga Lagardère Sports yang merupakan pemegang hak penamanan fasiliti sukan.
Berdasarkan perjanjian tersebut, stadium Juventus itu akan menggunakan nama Allianz Stadium sehingga tahun 2023.
Perjanjian hak penamaan stadium ini sungguh penting bagi Juventus, hal ini kerana wang hasil perjanjian tersebut akan digunakan oleh Juventus untuk menampung kos penyelenggaran stadium mereka.
Sebaik sahaja perjanjian telah selesai dimeterai, stadium bakal dihiasi dengan logo Allianz di tempat-tempat strategik di stadium terutamanya di teres utara dan selatan stadium.
Juventus Stadium akan menyertai stadium-stadium seperti Allianz Arena (Bayern Munich), Allianz Riviera (OGC Nice), Allianz Parque (Sao Paolo) dan banyak lagi stadium dan arena yang menggunakan nama Allianz atas dasar perjanjian.