Laporan Premium Sport di Itali menyatakan yang Juventus menjadikan Anthony Martial sebagai salah satu sasaran utama mereka untuk dibawa ke Turin pada musim hadapan.
Pengarah Juventus, Pavel Nedved kini berada di England dan dilihat berjumpa dengan wakil Doyen Sports, Nelio Lucas yang merupakan ejen kepada Anthony Martial.
Anthony Martial cuma ada baki kontrak setahun di Old Trafford. Beliau gagal untuk menjadi pemain utama secara konsisten di Manchester United.
Dengan kehadiran Alexis Sanchez di dalam pasukan, kelihatan semakin sukar untuk Martial dijamin tempat setiap minggu dalam kesebelasan Jose Mourinho.
Oleh itu, Juventus akan menggunakan tawaran menjadikan Martial sebagai pemain pasukan utama untuk menarik minat pemain itu.
Masalahnya kini adalah harga. Juventus dikatakan masih berunding untuk mendapatkan Martial dengan harga lebih rendah. Manchester United meminta £57.6 juta untuk pemain tersebut.
Angka yang dianggap Juventus sebagai tidak munasabah untuk pemain yang hanya memiliki baki kontrak setahun. Juventus kerap berjaya mendapatkan pemain dengan tawaran minimum.
Mereka juga sedang mengintai khidmat Emre Can yang boleh mereka dapat secara percuma musim hadapan.
Juventus mahu menggantikan beberapa pemain mereka yang sudah berusia terutama sekali Mario Mandzukic yang kerap diturunkan di bahagian sayap.
Martial dijangka akan membentuk gandingan dengan Dybala dan Gonzalo Higuain di bahagian hadapan. Martial pemain yang memiliki kepantasan dan kemampuan untuk menggelecek.
Bukan sahaja Juventus yang sedang mengikuti perkembangan kontrak beliau, malah banyak lagi kelab elit lain di dunia.