Juventus enggan menyerah kalah dan mengangkat bendera putih lebih awal, sebaliknya memberi amaran kepada Real Madrid apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak apabila kedua-dua pasukan berentap pada suku akhir kedua di Santiago Bernabeu awal pagi esok.
Skuad Old Lady tewas 0-3 kepada juara Eropah itu dalam aksi pertama di depan penyokong sendiri minggu lalu, namun jurulatih mereka, Massimiliano Allegri percaya, kejutan adalah perkara yang tidak mustahil untuk berlaku.
“Dalam permainan bola sepak apa sahaja boleh berlaku.
“Kami mengharungi hari yang buruk minggu lalu tetapi perkara yang sama boleh terjadi kepada Real Madrid,” kata Allegri.
Laman web rasmi Juventus melaporkan, gergasi bola sepak Inggeris itu sudah menyediakan pasukan terbaik bagi menghadapi ‘pertembungan maruah dan kualiti’, malah bersedia melakukan kebangkitan.
Bakal menurunkan barisan terkuat di Bernabeu, kedua-dua tonggak – Medhi Benatia (pertahanan) dan Miralem Pjanic (tengah) akan kembali daripada penggantungan, manakala Mario Mandzukic serta Juan Cuadrado dijangka mengetuai serangan di bawah formasi 4-3-3.
Bintang penyerang Argentina, Paulo Dybala terlepas perlawanan esok akibat layangan kad merah pada suku akhir pertama.
Misi Juventus untuk bangkit bagaimanapun tidak mudah kerana perlu berdepan Cristiano Ronaldo yang kini berada pada prestasi terbaik, malah sudah melakar rekod baharu sebelum perlawanan.
Jaringan akrobatik bintang Portugal itu ketika membantu Real menang 3-0 membolehkannya mengatasi rekod Ruud van Nistelrooy dengan meledak 10 gol berturut-turut dalam setiap perlawanan.
Hanya tiga gol sahaja memisahkan Pemain Terbaik Dunia itu daripada mengatasi rekod penjaring terbanyak miliknya sendiri dalam satu kempen Liga Juara-Juara.
Sehingga kini, Ronaldo, 33, sudah menjaringkan 14 gol hasil sembilan penampilan dengan dua jaringan dihasilkan ketika bertemu APOEL, Borussia Dortmund, Paris Saint-Germain (PSG) dan Juventus.