Jutawan Czech Beli 30% Pegangan West Ham United, Langkah Awal Kepada Pengambilalihan Penuh

West Ham United Daniel Kretinsky Czech

West Ham United disahkan telah mencapai persetujuan mengenai penjualan sebahagian pegangan saham kelab yang berpangkalan di London itu kepada jutawan Czech, Daniel Kretinsky.

Berita mengenai pembelian pegangan ini merupakan kesinambungan dari pengumuman kelab yang merancang untuk meningkatkan kapasiti penonton di Stadium London dari 60,000 kepada 62,500 – menjadikan ia venue terbesar di ibu negara England berkenaan.

London merupakan pusat kepada 13 kelab bola sepak profesional dengan tujuh daripada kini bersaing di pentas tertinggi Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Arsenal, Brentford, Chelsea, Crystal Palace, Tottenham Hotspur dan West Ham United.

Siapa Daniel Kretinsky?

Berusia 46 tahun, Kretinsky merupakan figura yang cukup dikenali dalam dunia perniagaan dan memiliki pegangan di syarikat kurier Royal Mail dan syarikat keperluan rumah J Sainsbury. Nilai kekayaannya dianggarkan hampir £3 bilion (RM17 bilion).

Beliau juga memiliki 40 peratus pegangan bersama Sparta Prague iaitu salah satu pasukan yang cukup dikenali di kejohanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan bertindak selaku presiden kelab gergasi Republik Czech tersebut.

Kretinsiky dilaporkan telah pun memulakan perbincangan dengan pemegang saham terbesar David Sullivan sejak beberapa bulan lalu untuk membuat pelaburan dan meluaskan empayarnya di West Ham.

Sullivan yang memiliki lebih 50 peratus pegangan kelab pernah menolak ‘lamaran’ dari syarikat pelaburan PAI Capital selepas mendapati nilai yang ditawarkan terlalu rendah dan tidak memberikan kebaikan kepada kelab untuk jangka masa panjang.

Penyokong vs GSB

Berdasarkan rundingan yang telah dipersetujui, West Ham akan melepaskan sebahagian pegangan sahamnya bernilai £150 juta kepada Kreinsky bagi membolehkan lebih banyak tunai disalurkan oleh pemilik baharu demi kebaikan dan kelangsungan kelab.

Ia amat penting bagi mengekalkan daya saing dengan kelab-kelab Inggeris lain yang semakin rancak berbelanja bagi memperkuatkan pasukan masing-masing ketika ini, termasuk Newcastle United yang baru sahaja selesai urusan pengambilalihan tempoh hari.

Difahamkan nilai pelaburan yang dibuat Kretinsky melibatkan 30 peratus dari pegangan saham kelab. Anggaran nilai keseluruhan kelab tersebut yang merangkumi kesemua aset seperti saham, stadium, hartanah, pusat latihan, akademi dan fasiliti lain dilaporkan sekitar £600 juta (RM3.4 bilion).

Ia dikatakan sebagai langkah awal sebelum pengambilalihan penuh dilakukan dalam tempoh beberapa tahun mendatang, sekaligus menamatkan beberapa dekad era GSB iaitu akronim bagi pemilik David Gold dan David Sullivan selain naib pengerusi Karren Brady.

Pada tahun lalu, ribuan penyokong West Ham melakukan perarakan ‘GSB out’ sebagai tanda protes terhadap pemilik kelab yang dianggap gagal melakukan perubahan ekoran prestasi kurang memberasangkan sejak beberapa tahun kebelakangan itu temasuk nyaris tersingkir ke Championship.

Penutup

Sejak musim lalu The Hammers mula mempamerkan prestasi memberangsangkan di bawah bimbingan David Moyes dengan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga keenam.

Kemudian musim ini kelab tersebut masih mengekalkan konsistensinya dengan menduduki tangga keempat liga mengumpul 17 mata dari sembilan perlawanan selain mengekalkan rekod 100 peratus di Liga Europa (UEL) dengan memenangi semua tiga perlawanan di peringkat kumpulan.

Mereka turut membuat kejutan dengan menyingkirkan Manchester City dari saingan Liga Carabao yang merupakan juara empat edisi berturut-turut.

Dengan perkembangan terbaharu ini, pastinya saingan EPL bertambah menarik dengan kemunculan satu lagi pasukan yang mampu bersaing hebat dengan kelab-kelab gergasi Inggeris yang lain berdasarkan kekuatan kewangan yang dimiliki.

Leave a Reply