“Jurulatih Yang Ikhlas & Jujur” – K. Rajagobal Turut Nukilankan Penghargaan Buat Tan Cheng Hoe

Peletakkan jawatan Tan Cheng Hoe tidaklah mengejutkan. Namun ia masih meninggalkan kesan kepada segelintir pihak, terutama yang mengikuti perkembangan karier jurulatih berusia 53 tahun itu sejak daripada mula.

Mula menyertai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2005, Tan Cheng Hoe memulakan karier sebagai di dalam bidang kejurulatihan sebagai Penolong Jurulatih Skuad B-20 negara.

Pengalaman Tan Cheng Hoe

Tan Cheng Hoe kemudiannya terus memainkan peranan sama bersama skuad B-23, dan skuad senior negara dari 2009 sehingga 2013.

Selepas itu Tan Cheng Hoe membawa haluan sendiri, kali ini kembali ke negeri kelahirannya untuk melatih pasukan Kedah.

Di situlah potensi Tan Cheng Hoe mulai dikenali oleh peminat dan penyokong bola sepak tempatan. Pada 2015, beliau membantu Kedah memenangi saingan Liga Premier untuk mendapat promosi ke Liga Super.

Beliau dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Tahunan Liga-M di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 selepas kejayaan merangkul Piala Malaysia, menduduki tempat ketiga dalam Liga Super dan mara sehingga separuh akhir Piala FA.

Pada 2017, Tan Cheng Hoe kembali kepada FAM untuk menjadi pembantu kepada Ketua Jurulatih Negara pada ketika itu, iaitu Nelo Vingada,

Beliau kemudiannya diberikan amanah untuk mengendalikan skuad utama negara menggantikan Nelo Vingada pada 7 Disember 2017, selepas jurulatih dari Portugal itu dipecat berikutan beberapa siri keputusan perlawanan yang memalukan.

Di bawah Tan Cheng Hoe, 2018 menjadi lambang kebangkitan bola sepak negara apabila Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF 2018, apabila disekat hanya oleh Vietnam.

Tahun 2019 pula dianggap kemuncak prestasi pasukan negara. Dua kemenangan menentang Indonesia, kejayaan menewaskan Thailand dan hampir mengejutkan UAE di perlawanan pertama pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membuatkan ramai percaya Tan Cheng Hoe adalah individu tepat untuk membawa pasukan ini pergi lebih jauh.

2020 menjadi tahun yang sukar buat bola sepak termasuk Harimau Malaya akibat pandemik yang melanda dunia. Sejak daripada itu pasukan negara kendalian Tan Cheng Hoe ibarat hilang momentum. Kita semua tahu apa yang berlaku sepanjang 2021.

Jurulatih Yang Ikhlas & Jujur

Jika ada individu yang paling terkesan dengan pengunduran diri Tan Cheng Hoe daripada skuad kebangsaan, ia pasti adalah Datuk K. Rajagobal. Ini kerana di awal pembabitan Tan Cheng Hoe sebagai Penolong Ketua Jurulatih pada 2005 sehingga 2013, beliau bekerja di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal.

Melalui akaun Twitter peribadinya, K. Rajagobal yang kini bergelar Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Brunei sempat menulis nukilan penghargaan buat Tan Cheng Hoe.

“Anda telah memberikan yang terbaik TCH. Saya tahu keikhlasan dan kejujuran dalam setiap kerja yang anda lakukan,” kata Datuk K. Rajagobal dalam nukilan tersebut.

“Merupakan rakan sekerja terbaik yang boleh saya impikan, dan amat diberkati kerana pernah berkerja dengan beliau di dalam karier sebagai jurulatih selama ini.

“Tanpa TCH disi saya pencapaian yang telah dikecapi sebagai Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan sebelum ini mustahil mampu saya capai. Pasti akan ada perkara yang lebih baik bakal ditempuhi oleh anda selepas ini.”

Antara kenangan manis kedua-duanya ketika bekerja bersama ialah ketika membantu Malaysia meraih pingat emas acara bola sepak di Sukan SEA 2009. Tahun berikutnya gandingan Rajagobal dan Tan Cheng Hoe turut berjaya membawa Malaysia muncul juara Piala AFF buat kali pertama. Ia kekal menjadi satu-satunya kejuaraan yang pernah dimenangi oleh pasukan negara.

Demi bola sepak Malaysia

Tan Cheng Hoe ketika dihubungi oleh wakil Semuanya BOLA pada hari ini menyifatkan pengunduran beliau sebagai Ketua Jurulatih adalah perkara yang sukar tetapi harus dilakukan.

“Ia adalah keputusan yang sukar, tetapi demi kebaikkan bola sepak Malaysia. Saya berharap akan ada orang lain yang mampu melakukan tugas tersebut lebih baik daripada saya,” ujar beliau ringkas.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN