Tidak lama dahulu, Kelantan merupakan satu nama yang cukup besar dalam sejarah bola sepak Malaysia. Pasukan dari pantai timur yang diberi gelaran The Red Warriors (TRW) ini pernah mencapai kegemilangan yang tiada taranya termasuk meraih kejuaraan ‘treble’ pada tahun 2012.
Satu keistimewaan negeri Cik Siti Wan Kembang itu adalah mereka pernah memiliki penyokong bola sepak paling fanatik di negara ini. Dengan semangat luar biasa, hampir semua perlawanan termasuk di tempat lawan penyokong Kelantan yang bertebaran di seluruh negara akan hadir ke stadium untuk menyokong pasukan.
Namun Kelantan mengalami fasa-fasa ‘mendung’ setelah dibelenggu dengan masalah pengurusan dan turut dibebani dengan isu hutang tertunggak bernilai jutaan ringgit.
Isu demi isu yang melanda menjadikan pasukan tersebut ‘lemas’ dan akhirnya tersingkir ke Liga Premier pada penghujung musim 2018. Ia turut memberi kesan besar kepada semangat penyokong Kelantan yang semakin kelam.
Namun bermula tahun 2020, arena bola sepak Kelantan tidak lagi hanya berkisar kepada satu pasukan sahaja setelah muncul satu lagi pasukan profesional iaitu Kelantan United yang beraksi di Liga Premier.
Ketua Jurulatih Kelantan United yang baharu dilantik, Syamsul Saad melaungkan keyakinan bahawa sudah tiba masa pasukan bimbingannya untuk kembali menaikkan nama Kelantan untuk menjadi antara kuasa bola sepak tanah air dengan meraih banyak gelaran dalam saingan liga tempatan dan beraksi di pentas antarabangsa.
“Sebagai jurulatih sudah tentu saya mahu mencipta sesuatu kejayaan apabila diberi kepercayaan untuk melatih pasukan KUFC,” kata Syamsul dalam temubualnya bersama Bernama.
“Saya mahu tiupkan semula semangat juang yang tinggi kepada pemain-pemain dan kembalikan zaman kegemilangan Kelantan seperti suatu ketika dahulu sehingga digeruni pasukan lawan.”
Mengulas lanjut, Syamsul berkata, beliau akan menggunakan taktikal bola sepak moden dalam memastikan sasaran berada dalam kedudukan empat teratas saingan Liga Premier musim ini dapat dicapai.
“Sasaran itu tidak memberi tekanan sebaliknya ia sebagai cabaran kepada saya walaupun kami pasukan yang memperuntukkan bajet kecil untuk persiapan pemain. Saya akan menggunakan sepenuhnya tenaga pemain muda untuk mencapai sasaran ini.”