Jurulatih Kecergasan, Pahlawan Tak Didendang Di Tepi Padang

Jurulatih kecergasan adalah satu bidang yang sangat penting dalam pasukan bola sepak profesional. Untuk pasukan amatur ataupun liga sosial, mungkin ada yang tidak mampu memiliki jurulatih kecergasan.

Jadi, untuk pasukan yang tidak berkemampuan mengupah jurulatih kecergasan, adalah penting untuk mana-mana individu yang ada asas yang baik dalam mengendalikan kecergasan pasukan.

Namun untuk pasukan yang profesional, sepatutnya tiada alasan untuk tidak memiliki jurulatih kecergasan sendiri.

Apa itu kecergasan pemain?

Kecergasan adalah merujuk kepada keadaan pemain yang aktif dan boleh melakukan pergerakan dengan optimum di dalam padang. Menurut topendsports.com:

“Pemain yang berkemahiran tinggi sentiasa penting di dalam bola sepak, tetapi tanpa kecergasan yang baik di dalam padang, mereka belum boleh dikira pemain yang lengkap (complete player).”

“Ketahanan dan kecergasan secara aerobik, adalah komponen yang paling penting dalam kecergasan fizikal. Ini yang menjadi asas utama pemain bola sepak.”

Anda pastinya kenal dengan Cristiano Ronaldo yang memiliki fizikal yang sangat mantap. Tanpa kecergasan yang baik, beliau cumalah pemain yang berkemahiran tinggi dengan skil individu.

Peranan jurulatih kecergasan

Menurut Encik Safib Salmi yang kini merupakan jurulatih kecergasan di Terengganu City FC, beliau memberitahu:

“Tugas Jurulatih kecergasan yang paling utama adalah memastikan tahap kecergasan di dalam keadaan yang terbaik.”

“Tugasan kami meliputi merancang jadual, membuat dan merekod data pemain, dan di Malaysia kita juga terlibat dalam memotivasi, menasihat permakanan dan diet para pemain.”

Beliau memberikan ringkasan tugasan seharian beliau. Safib Salmi mengakui setiap organisasi pasukan akan ada skop tugasan yang berbeza.

Misalnya pasukan Liga Super, mereka mungkin memiliki jurulatih kecergasan yang lebih kompleks. Mereka memiliki fasiliti dan kemudahan yang lebih lengkap.

Ada beberapa pasukan profesional masih memandang remeh isu alatan dan kelengkapan untuk kegunaan jurulatih kecergasan.

Ada jurulatih kecergasan yang mengambil inisiatif dan mengeluarkan duit sendiri untuk membantu para pemain. Itu antara asam garam seorang jurulatih kecergasan.

Walaupun corak dan pengendalian yang berbeza-beza setiap pasukan, peranan asas mereka tetap sama, iaitu menyediakan pemain yang cergas untuk pasukan pada hari perlawanan.

Ia bukan tugas yang mudah kerana setiap jurulatih kecergasan perlu cakna akan pemain-pemain yang diuruskan mereka. Mereka perlu mengambil kira beberapa aspek termasuk umur dan tahap perkembangan pemain. Menurut beliau lagi:

“Cabaran berbeza-beza sebenarnya terutama jika kita terlibat dengan ‘grassroots’ (akar umbi), remaja dan senior.”

“Selain daripada itu, jurulatih kecergasan perlu memastikan modul latihan mereka efektif dan pada masa yang sama ‘seronok’ untuk diikuti pemain.”

Ia adalah cabaran yang sangat besar. Selepas tamat latihan hari ini, mereka akan memerah otak di rumah untuk mencari, apa jenis latihan yang mereka mahu berikan pada sesi berikutnya.

Mungkin bagi kita ia nampak remeh untuk mencari latihan yang ‘menyeronokan’. Namun sesi yang ‘menyeronokan’ ini biasanya akan lebih efektif.

Pada masa yang sama, seronok, seronok juga, matlamat akhir latihan itu harus dicapai.

Ada juga jurulatih kecergasan yang mengeluh kerana ada segelintir pemain yang tidak memberikan kerjasama sebaiknya kepada sesi latihan yang telah mereka rancang.

Ini yang biasanya membezakan pemain yang ‘top class’ dan pemain yang biasa. Sikap dan komitmen mereka dalam pembangunan diri sendiri terutama sekali dalam aspek kecergasan.

Jurulatih kecergasan dan pegawai fisioterapi

Jurulatih kecergasan adalah individu yang sangat berkait rapat dengan pegawai fisioterapi pasukan. 2 unit ini akan saling berhubung antara satu sama lain tentang kemaskini perkembangan pemain di dalam pasukan.

Untuk pemain yang baru pulih dari kecederaan, jurulatih kecergasan perlu meminta izin atau kebenaran daripada pegawai fisioterapi untuk memasukkan mereka ke dalam kumpulan latihan.

Benjamin Mora.

Pada masa yang sama, untuk pemain yang baru pulih ataupun ada rekod kecederaan yang berulang, jurulatih kecergasan biasanya akan duduk semeja dengan pasukan fisioterapi untuk memastikan pemain tersebut diberikan latihan yang sesuai.

Ini mengambil kira jenis latihan, kadar intensiti dan pelbagai aspek lain. Mereka juga akan sentiasa berkomunikasi dengan pemain berkenaan dengan, bagaimana keadaan semasa mereka. Sama ada mereka selesa dengan latihan yang diberikan atau ada rasa sakit?

“Mula-mula kita berbincang dan tanya tahap (kesakitan) yang dia rasa, selepas itu kita suruh dia buat secara perlahan dahulu.”

“Kemudian baru kita cuba mencipta model latihan yang sesuai. Kalau pemain yang baru pulih tersebut perlu ke gym, kita akan letakkan berapa bebanan yang sesuai.”

“Selepas mereka semakin selesa, kita boleh tambah lagi. Ianya dilakukan perlahan-lahan dan dengan teliti.”

“Latihan turut mengambil kira aspek intensiti, durasi, dan frekuensi.”

“Setiap perkembangan mereka akan direkod. Jika data yang direkod menunjukan hasil yg positif dan meyakinkan barulah kita akan melepaskan kepada pasukan dan bersedia untuk kembali ke padang.”

“Jurulatih kebiasaannya perlu menghormati ‘perlepasan’ dari pihak jurulatih kecergasan.”

“Dalam proses pemulihan pemain, pemerhatian yang teliti sangat penting.”

“Sebagai contoh pemain boleh berlari seperti biasa tetapi berlaku pertembungan yang kuat dan keras kekuatan otot memainkan peranan kerana kecederaan berulang mungkin akan berlaku.”

Itulah serba sedikit perkongsian secara umum oleh Encik Safib Salmi.

Saya pernah terbaca satu petikan artikel daripada luar yang menyebut:

“Jika anda terpaksa memilih salah satu, sama ada untuk memiliki pembantu jurulatih ataupun jurulatih kecergasan, lebih baik anda pilih jurulatih kecergasan dahulu.”

Mereka adalah wira yang tidak didendang di tepi padang. Anda ingat detik Theo Walcott dan Jack Wilshere meraikan gol mereka dengan jurulatih kecergasan Arsenal, Declan Lynch? Ianya selepas kedua-dua pemain bergelut dengan kecederaan panjang.

Akhir sekali, yang merasa gaji berpuluh ribu (di Malaysia) sebulan dan berpuluh serta beratus ribu (luar negara) seminggu adalah pemain bukannya jurulatih kecergasan.

Kami di semuanyaBOLA berharap, setiap pasukan memandang serius aspek dalam membantu jurulatih kecergasan dari segi fasiliti dan peralatan yang terbaik.

Cabaran juga untuk mereka pada bulan Ramadan. Di mana mereka harus mengubah beberapa rutin latihan yang bersesuaian dengan para pemain.

Kepada semua jurulatih kecergasan di luar sana, tidak kira di peringkat mana liga anda berkhidmat! Anda adalah hero!

Akhir sekali, terima kasih kepada Encik Safib Salmi kerana sudi meluangkan masa berkongsi dengan kami tentang topik ini. Selamat maju jaya kami ucapkan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN