Jurulatih Al-Seeb, Rasheed Jabar Alyafai mengakui yang lawan mereka di perlawanan akhir Piala AFC iaitu KL City mempunyai ramai pemain berkualiti untuk memberikan cabaran kepada mereka.
Bercakap ketika sidang media pra-perlawanan di Bukit Jalil, Rasheed mengakui yang skuad kendalian Bojan Hodak mempunyai ramai pemain berkualiti terutamanya empat individu.
Menurut Rasheed, ada empat pemain yang perlu diberikan perhatian oleh Al-Seeb ketika perlawanan akhir.
”Mereka mempunyai ramai pemain yang bagus dan adalah sebuah pasukan yang baik.”
”Pemain berjersi nombor 20, 9, 7 dan 14 adalah pemain yang cukup bagus dari KL City,” kata Rasheed.
Empat pemain yang dimaksudkan Rasheed itu adalah Paulo Josue, Giancarlo Gallifuoco, Romel Morales dan Akram Mahinan.
Barangkali tersilap, Rasheed mungkin terkeliru dengan nombor jersi Josue yang sebenarnya adalah 28.
Namun secara dasarnya, tidak hairanlah jika empat pemain itu menjadi tumpuan kerana mereka adalah nadi utama KL City dalam Piala AFC.
Prestasi cemerlang mereka pastinya menggerunkan Al-Seeb walaupun diletakkan sebagai pilihan, kelab dari Oman itu tidak memandang enteng cabaran Warga Kota itu.
Walaupun mereka sedar kekuatan KL City, Rasheed tetap mahu kalahkan lawan mereka dalam masa 90 minit.
Mereka tidak memilih untuk membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti walaupun KL City cuba untuk melakukannya seperti perlawanan sebelumnya.
Al-Seeb akan bertemu KL City di Bukit Jalil esok dengan perlawanan akan dilangsungkan pada jam 7 malam.
Kredit gambar: Azri Haziq – Makan Bola