Pengurus Liverpool mengakui bahawa beliau tidak risau dengan prestasi mengecewakan Mohamed Salah pada perlawanan Liga Perdana Inggeris bertemu Manchester United di Old Trafford malam tadi.
Salah tidak berupaya menemui sentuhan jaringan dan turut gagal mempamerkan kecemerlangan memaksa Klopp menggantikannya dengan Divock Origi pada minit ke-79.
Walaupun Liverpool menguasai permainan berbanding tuan rumah, hanya satu percubaan tepat kearah gol yang dapat dicipta pendahulu liga itu.
Kecederaan yang dialami Roberto Firmino sehingga beliau terpaksa dikeluarkan pada minit ke-31 juga menjadi punca kepada jentera serangan Liverpool ‘terkulai layu’.
Klopp bagaimanapun tidak panik dengan keadaan tersebut dan beliau yakin dengan kemampuan Mohamed Salah.
”Mo (Mohamed Salah) tahu dia boleh beraksi dengan cukup baik berbanding apa yang dipamerkannya hari ini (malam tadi), tetapi saya tidak risau dengan keadaannya.”
”Dua minggu lalu, apabila kami menentang Bournemouth, dia sangat menakjubkan. Hari ini jelas, (Victor) Lindelof dan (Luke) Shaw bersama-sama menjalankan tugas dengan cukup baik.”
”Saya berada di sini bukan untuk berasa kecewa, saya di sini untuk membantu para pemain beraksi bola sepak terbaik buat mereka.”
Dengan keputusan seri tanpa jaringan yang dicatatkan, ia merupakan kali kedua berturut-turut Liverpool gagal mencipta jaringan.
Pertengahan minggu tempoh hari, The Reds terikat tanpa jaringan bertemu Bayern Munich di Anfield pada perlawanan pertama peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah.