Jurgen Klopp percaya Mohamed Salah membuat keputusan yang betul apabila memilih untuk menyertai Liverpool FC meskipun penyerang Mesir itu mendapat tawaran lumayan daripada kelab gergasi eropah yang lain.
Beliau meramalkan Salah tidak akan berhenti berusaha untuk memperbaharui rekod jaringan Liverpool selepas bintang Mesir itu meledak gol ke-40 ketika membantu pasukannya menewaskan Bournemouth, 3-0, semalam.
Begitupun, pengendali Jerman itu turut menegaskan pemain berkenaan tidak akan terganggu dengan buruan Anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika The Reds cuba mengakhiri musim dengan memenangi Liga Juara-Juara.
Salah yang mengharungi musim pertamanya di Anfield menjadi pemain Liverpool pertama sejak Ian Rush (1986-87) mengumpul lebih 40 gol dan pemain ketiga dari kelab itu selepas Rush serta wira England pada Piala Dunia 1966, Roger Hunt.
Tetapi Salah mencapai angka 40 gol jauh lebih awal berbanding kedua-dua legenda berkenaan.
Dengan berbaki tujuh lagi perlawanan musim ini, dia mungkin mampu mencabar rekod jaringan terbanyak kelab yang ketika ini dipegang Rush menerusi 47 gol pada kempen 1983-84.
“Betul ia sudah 31 tahun? Dia tidak nampak setua itu. Dia pasti berusia 14 tahun apabila dia menjaringkan 40 gol,” kata Klopp dengan nada berjenaka mengenai Rush apabila diberitahu Salah menjadi pemain Liverpool pertama meledak 40 gol sejak legenda Wales itu melakukannya.
“Tetapi Mo tahu apa maknanya dan cara kami bermain sesuai dengannya. Baginya, untuk semua pemain, ia menakjubkan dan hari ini dia jelas tidak nampak seperti dia tidak mahu menjaringkan gol untuk beberapa perlawanan berikutnya.
“Semuanya adalah mengenai dirinya, mengenai diri kami dan bagaimana kami menamatkan musim ini. Secara normal dalam situasi ini, untuk menjadi yang terbaik dari sudut senarai penjaring dan memenangi Kasut Emas, atau apa saja yang mereka gelar, ia bermakna kami berjaya sebagai pasukan, tetapi kami tidak boleh memaksanya.
“Tetapi ia bagus, menarik. Jumlah yang mengagumkan. Wow!”
Selain Salah, dua lagi gol Liverpool dijaringkan trio serangan kelab itu iaitu Sadio Mane dan Roberto Firmino.
Selepas Mane meletakkan tuan rumah di depan seawal minit ketujuh, Salah menggandakan kedudukan pada minit ke-69 sebelum Firmino melengkapkan kedudukan pada minit ke-90 yang menyaksikan ketiga-tiganya sudah mengumpul 82 gol sepanjang musim ini.