Meskipun masih mengintai pemain baharu untuk memperkuatkan pasukannya, Jurgen Klopp menegaskan bahawa Liverpool tidak akan berbelanja besar bagi menghadapi musim 2019/20.
Juara Eropah itu masih ‘pasif’ pada jendela perpindahan musim panas ini apabila hanya merekrut pemain berusia 17 tahun, Sepp van den Berg dari PSC Zwolle.
Keadaan cukup berbeza berbanding dua pesaing utama The Reds, Manchester City dan Tottenham Hotspur yang sudah memecahkan rekod perpindahan kelab dengan membawa masuk Rodri dan Tanguy Ndombele.
Klopp bagaimanapun tidak gusar dengan perkembangan tersebut dan beliau nyata gembira untuk mencari jalan penyelesaian berdasarkan skuad yang dimiliki ketika ini.
”Ia tidak mudah. Saya telah berkata pada tahun lalu, untuk meningkatkan pasukan tidak mudah dengan wang yang munasabah.”
”Dengan wang yang ‘gila’, anda akan sentiasa dapat melakukannya – baiklah, anda bayar apa yang anda mahukan, ia mungkin.”
”Kami bukanlah kelab yang seperti itu. Kami tidak boleh melakukannya. Kami memang sangat kaya tetapi kami tidak mahu melakukan perkara yang sama dilakukan pasukan lain.”
”Tetapi kami tidak perlukannya. Kami perlu mencari penyelesaian pada musim ini. Ya, kadangkala anda mencari penyelesaian di jendela perpindahan dan kami telah melakukannya.”
”Saya tidak perlu untuk menamakan pemain, semua orang tahu. Tetapi jika tidak, anda perlu mencari penyelesaian di padang latihan dan itulah yang kami lakukan ketika ini.”
”Kami masih mencari tetapi ia tidak akan menjadi jendela perpindahan yang besar buat LFC.”
”Ia hanya akan menjadi jendela perpindahan. Kami akan lihat apa yang akan kami lakukan dan jika kami tidak melakukan apa-apa hingga akhir tempoh itu, ia disebabkan beberapa alasan,” ujar Klopp lagi.