Disebalik kegembiraan menewaskan Manchester City pada perlawanan awal pagi tadi, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp ternyata tidak berpuas hati dengan jadual dalam saingan Liga Perdana Inggeris yang terpaksa dilalui.
Klopp menganggap badan pentadbir liga tersebut perlu berfikir terlebih dahulu dalam membuat jadual perlawanan.
Skuad bimbingan pengurus dari Jerman itu hanya mempunyai masa yang cukup singkat untuk meraikan kemenangan 3-0 menentang Manchester City sebelum perlu melakukan persiapan bagi derbi Merseyside bertemu Everton pada Sabtu nanti.
Klopp turut mempersoalkan keputusan Liverpool yang terpaksa beraksi lebih awal di Goodison Park.
Keadaan tersebut membuatkan anak buah Jurgen Klopp hanya mempunyai masa yang singkat untuk proses pemulihan selepas beraksi dalam saingan Eropah.
”Saya dapat bayangkan ramai orang sedang gembira dengan kemenangan ini (bertemu Manchester City), tetapi kami perlu bermain pada 12.30 tengahari pada Sabtu,” ujar Klopp kepada BT Sport.
”Jika anda mahu melihat aksi seperti ini, Premier League perlu memikirkan mengenainya. Everton mungkin gembira dengan perlawanan ini berbanding kami dan ini tidak adil.”
”Saya tidak begitu gembira ketika ini. Saya sangat marah dengan beberapa individu yang membuat keputusan dalam liga ini.”
”Sekiranya kami mempunyai semua pemain menentang Everton tetapi saya tidak membariskan kesebelasan terbaik, apa yang akan terjadi nanti? Semua tahu apa yang akan berlaku.”
Di samping semakin menghampiri aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah dengan kelebihan tiga gol yang dimiliki, Liverpool kini masih dalam perebutan untuk berada di tempat kedua Liga Perdana Inggeris.