Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji Manchester City dan menyifatkan kelab tersebut mampu untuk menggondol empat trofi pada musim ini.
The Cityzens yang sudah memenangi Piala Carabao tempoh hari sedang mengintai peluang untuk menjulang Liga Juara-Juara Eropah, Liga Perdana Inggeris dan Piala FA.
Skuad bimbingan Pep Guardiola itu kembali ke tangga teratas liga selepas menundukkan Cardiff City 2-0 di Stadium Etihad, pagi semalam.
Klopp tanpa berselindung melihat keupayaan yang dimiliki serta menegaskan Manchester City mampu untuk meraih empat trofi buat musim ini.
”Jika anda menyaksikan dari luar, anda akan berfikir seolah-olah (Manchester) City boleh memenangi empat piala dan saya merasakan perkara sama,” Klopp bercakap ketika sidang media menjelang pertemuan liga menentang Southampton.
”City dalam keadaan seperti sebuah pasukan terbaik di dunia. Seperti itulah. Barcelona sedikit bergelut tetapi masih mampu melakukan tugas dengan baik (seri 4-4 bertemu Villareal).”
”Juventus kelihatan mengagumkan di Itali tetapi anda tidak tahu bagaimana dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah. Dengan City, mereka adalah tiga pasukan pilihan utama Liga Juara-Juara Eropah.”
”Dan anda fikirkan, baiklah, City kelihatan sedikit stabil berbanding pasukan lain. Tetapi ia tidak bermakna mereka akan memenangi kesemua perlawanan. Saya dapat bayangkan orang berfikir sedemikian tetapi ia tidak membuatnya lebih cenderung.”
”Berapa ramai yang menyaksikan kesemua aksi 90 minit City? Mereka menang 2-0 keatas Fulham, kami (Liverpool) menang 2-1 berdepan Fulham kerana kami melakukan kesilapan yang kami tidak biasa lakukan.”
”Saya tidak kisah, saya tidak bertaruh. Saya hanya tertarik dengan permainan kami dan kami tidak melakukan lebih daripada memenangi perlawanan. Kami cuba untuk memennangi dengan apa yang kami ada.”