Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp percaya bahawa anak buahnya beraksi dengan baik untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata ketika tewas 1-0 kepada Chelsea pada pertemuan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge awal pagi tadi.
Klopp bagaimanapun berpendapat bahawa para pemain Liverpool perlu lebih klinikal bagi mengubah keputusan permainan.
Olivier Giroud menghasilkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-32 selepas pemain antarabangsa Perancis itu menanduk masuk hantaran yang dilakukan Victor Moses di sebelah kiri pintu gol Liverpool.
”Saya benci keputusan ini tetapi tidak pada persembahan pemain, ia bukan aksi terbaik pada musim ini tetapi cukup untuk mendapatkan satu mata disini,” Jurgen Klopp memberitahu Sky Sports.
”Adalah jelas apabila menentang Chelsea bahawa anda perlu untuk mengelakkan hantaran lintang dan dalam situasi itu. Saya tidak 100% pasti tetapi jika saya betul.”
”Kami gagal mengelakkan hantaran lintang dan sukar untuk menghadapi Giroud.”
”Chelsea pasukan yang kuat tetapi apabila kami mempunyai bola, kami melakukan yang terbaik, kami mempunyai beberapa keadaan yang baik tetapi pada akhirnya, sudah pasti, kami tidak cukup klinikal.”
”Seperti yang saya katakan, persembahan yang ditunjukkan pemain adalah ‘OK’ dengan semua perlawanan yang dihadapi ketika ini tetapi keputusannya adalah bertentangan dengan apa yang kami mahukan.”
”Mereka (Chelsea) mempunyai kualiti dan perancangan dalam bertahan.”
”Anda dapat melihatnya, mereka bermain dengan lapan orang pemain di dalam dan sekeliling kotak penalti serta dua orang pemain serangan yang sangat-sangat baik, secara jujurnya itu merupakan perancangan yang sangat bijak.”
Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu hanya perlu mencatatkan kemenangan pada perlawanan terakhir bertemu Brighton bagi mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim 2018/19.