Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan skuad bimbingannya perlu beraksi dengan lebih baik dalam usaha untuk menumpaskan Manchester City pada aksi Perisai Komuniti, hujung minggu ini.
Liverpool berjaya mencatatkan kemenangan pada perlawanan pra-musim di Switzerland selepas menundukkan Lyon 3-1. Ia sekaligus menamatkan rentetan tanpa sebarang kemenangan pada empat aksi terdahulu.
Dikecewakan pada aksi terakhir liga musim lalu, Liverpool pastinya mahu tampil dengan lebih garang ketika berhadapan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu.
”Kini kami mempunyai tiga hari lagi untuk persiapan perlawanan menentang Manchester City dan kemudiannya kami akan melihat apa yang kami boleh lakukan.”
”Sudah pasti saya gembira (kemenangan bertemu Lyon) tetapi saya tahu kami perlu beraksi dengan lebih baik untuk memiliki lebih peluang ketika bertemu City.”
”Man City adalah berbeza dengan semua perlawanan yang anda lalui – anda perlu bermain perlawanan pra-musim menentang Man City untuk persiapan menentang mereka dan kami tidak melakukannya.”
”Kami perlu untuk menyesuaikan diri tetapi semuanya baik. Hari ini (semalam), dari segi fizikal, sangat penting buat pemain kami. Begitu juga dari sudut psikologi.”
Dalam pada itu, pengendali kelahiran Jerman itu masih berteka-teki sama ada mahu menurunkan pemain utama, Alisson Becker, Roberto Firmino dan Mohamed Salah pada aksi di Wembley nanti.
”Saya tidak tahu lagi pada masa ini. Saya tidak mengatakan 100% tidak, ada kemungkinan peluang buat mereka untuk beraksi, ya.”