Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui bahawa ayam tambatannya, Mohamed Salah yang sedang bergelut untuk memperagakan aksi seperti musim lalu pasti tidak gembira dengan apa yang dilaluinya kini.
Walaupun sudah menjaringkan tiga gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini, aksi Salah kini sedikit tenggelam dan seringkali terlepas beberapa peluang keemasan bagi mencipta jaringan.
Pertembungan menentang Chelsea pada awal pagi Ahad juga memperlihatkan ketumpulan penyudah Salah walaupun mempunyai peluang terbaik.
Beliau kemudiannya dikeluarkan di minit ke-66 dan digantikan dengan Xherdan Shaqiri pada aksi yang berlangsung di Stamford Bridge itu.
Menurut sumber Goal, pengendali dari Jerman itu mengakui bahawa Salah tidak gembira dengan tahap permainannya ketika ini, namun tidak ada keraguan bahawa beliau akan kembali ke prestasi terbaiknya.
”Sudah pasti dia tidak gembira. Bagaimana dia boleh hadapinya? Ia adalah situasi yang normal.
”Tetapi sekarang, itulah gunanya anda mempunyai seorang pengurus. Kami akan bercakap mengenai perkara ini.”
”Tiada masalah, ianya baik-baik sahaja. Selagi dia (Mohamed Salah) bekerja seperti dia bekerja dan masuk ke dalam situasi yang sesuai dengannya, saya tidak mempunyai sebarang masalah dan segalanya akan berjalan dengan baik.”
Prestasi hebat yang dipertontonkan Mohamed Salah pada musim pertamanya di Liverpool jelas memberikan harapan dalam kalangan penyokong The Reds untuk melihat pemenang kasut emas EPL musim lalu itu terus cemerlang.