Jurgen Klopp menyalahkan ketumpulan penyudah anak buahnya yang mensia-siakan peluang dimiliki ketika skuad bimbingannya hanya mampu mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika kunjungan ke St James’ Park bertemu Newcastle United.
Perlawanan yang menemukan Rafa Benitez dengan kelab lamanya itu.
Phillipe Coutinho membuka jaringan menerusi rembatan yang berjaya menewaskan Robert Elliot pada minit ke-29, namun kelebihan tersebut tidak bertahan lama apabila Joselu menyamakan kedudukan 7 minit berselang. Jaringan tersebut kekal hingga tamat permainan.
Liverpool berjaya mendominasi permainan dan mempunyai beberapa peluang terbaik untuk memenangi perlawanan. Usaha tersebut bagaimanapun dihampakan dengan ketumpulan penyudah mereka.
Klopp ternyata berang dengan keadaan itu dan menyalahkan anak buahnya kerana tidak mempunyai ketenangan di hadapan gol lawan.
”Saya kecewa, sangat kecewa, apa sahaja yang anda mahukan. Tetapi beraksi di Newcastle adalah sukar buat semua pasukan yang bertandang kesana.”
”Kami menghasilkan jaringan dan mencipta peluang yang cantik.”
”Kami melakukan rembatan melewati palang walaupun ianya sudah terbuka luas. Kami berjaya mencipta lima atau enam peluang keemasan.”
”Saya tidak nampak Newcastle mendapat peluang yang lain. Mereka mendapat satu peluang dan berjaya menjaringkan gol. Itu tidak adil.”
Klopp juga merasakan Liverpool seharusnya diberikan sepakan penalti berikutan DeAndre Yedlin yang menarik baju Dejan Lovren pada babak kedua.
”Itu adalah secara terang-terangan sepakan penalti buat kami.”
Sebelum ini bekas pemain tengah Liverpool, Jamie Redknapp pernah menyuarakan kebimbangan beliau terhadap ketumpulan penyudah yang melanda kelab Merseyside itu ketika aksi menentang Burnley pada bulan lalu dimana keputusan perlawanan tersebut juga terikat dengan keputusan seri 1-1.
Sumber :
The Sun (2017) – http://www.dailystar.co.uk/sport/football/649028/Jurgen-Klopp-Liverpool-Newcastle
Goal (2017) – http://www.goal.com/en-au/news/pull-shirt-off-jurgen-klopp-liverpool-penalty/g0tkrt9gtz5e1drtf035oymfj