Quantcast

BERITA

Jurgen Klopp: Alisson Perlukan Sedikit Masa Untuk Kembali

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan bahawa penjaga gol utama The Reds, Alisson Becker memerlukan sedikit masa untuk kembali mengisi kekosongan yang ditinggalkannya [kecederaan betis] pada perlawanan sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 tempoh hari.

Menurut sumber Goal, buat masa ini masih tiada jangka masa yang spesifik buat beliau untuk kembali beraksi. Alisson kelihatan sudah hampir pulih apabila hadir menerima anugerah penjaga gol terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL), kelmarin.

”Dia (Alisson Becker) sudah mula berjalan, sudah tentu tetapi masih belum pulih sepenuhnya, jadi dia memerlukan sedikit masa lagi,” jelas Klopp berkongsikan perkembangan semasa mengenai kecederaan Alisson.

”Otot betis cukup penting buat seseorang pemain untuk melompat – dan bagi penjaga gol, ia sangat penting kerana anda perlu melompat dari masa ke masa.”

Dalam pada itu, Klopp melahirkan rasa syukur kerana beliau memiliki Adrian untuk menjadi sandarannya di posisi penjaga gol.

”Syukur kepada Tuhan – dan diharapkan ia kekal seperti ini – kami mempunyai Adrian di penjaga gol dan ianya bagus.”

”Pada ketika ini, saya sangat gembira dengan segala yang saya saksikan. Dia (Adrian) merupakan seorang yang bagus dan penting buat pasukan tetapi yang lebih penting dia boleh menangkap bola dengan baik.”

Liverpool bakal berkunjung ke Turf Moor untuk pertemuan menentang Burnley malam ini, bagi aksi keempat saingan EPL sekaligus dalam usaha mereka untuk mengekalkan rekod 100% kemenangan liga. Sebelum ini, Liverpool telah mencatatkan tiga kemenangan awal bertemu Norwich City (4-1), Southampton (2-1) dan Arsenal (3-1.