Pengurus Real Madrid, Julen Lopetegui optimis dengan keupayaan Gareth Bale bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo ketika ini.
Ronaldo yang menjaringkan 450 gol dalam 438 perlawanan bersama Los Blancos memilih untuk berhijrah ke Juventus selepas saingan Piala Dunia tempoh hari.
Dengan kehilangan bintang paling berpengaruh buat Real Madrid itu masih belum digantikan oleh mana-mana pemain baharu selepas dua sasaran utama, Neymar dan Eden Hazard gagal didatangkan ke Santiago Bernabeu.
Dengan ketiadaan rekrut baharu, Gareth Bale dilihat bakal menjadi sandaran utama buat Lopetegui ketika pemain antarabangsa Wales itu juga telah mencuri tumpuan pengurus tersebut pada sesi latihan pra-musim.
Menurut sumber Goal, Lopetegui berkata: ”Kami suka bahawa (Gareth) Bale ada bersama kami.”
”Dia begitu bermotivasi dan bekerja dengan sangat baik sejak dari awal permulaan musim.”
”Kami gembira dengan sikap dan keinginannya, dia merupakan ‘ultra profesional’ yang berlatih dengan keinginan seperti seorang pemain muda.”
”Kami yakin dia akan menikmati musim yang hebat.”
Musim lalu, walaupun nama Cristiano Ronaldo lebih disebut-sebut, dua jaringan menariknya pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah berjaya menghadiahkan kejuaraan kali ketiga berturut-turut buat Real Madrid.
Dengan ketiadaan Cristiano Ronaldo dalam pasukan, inilah masa yang tepat bagi Gareth Bale bagi membuktikan kewibawaannya dalam mengepalai cabaran Real Madrid musim ini.