Pemain tengah Manchester United, Juan Mata percaya kejayaan menjuarai Piala FA bakal menjadi penghormatan buat Sir Alex Ferguson yang kini sedang bertarung dengan masalah pendarahan otak dihadapinya.
Beberapa hari lalu, dunia bola sepak dikejutkan dengan berita dimana Sir Alex telah mengalami pendarahan otak yang memaksa pembedahan kecemasan dilakukan terhadap pengurus legenda itu di Hospital Salford Royal, Manchester.
Bagi Mata, walaupun tidak pernah dibimbing Sir Alex, beliau beranggapan kejayaan menumpaskan bekas kelabnya, Chelsea pada perlawanan akhir di Stadium Wembley nanti merupakan hadiah dan penghormatan buat bekas pengendali dari Scotland itu.
”Pada hari Sabtu lalu, kami semua dikejutkan dengan berita mengenai keadaan kesihatan Sir Alex Ferguson,” Mata menulis di blok mingguannya dalam laman web rasmi Manchester United.
”Keadaan ini telah memberikan impak yang besar buat Manchester United, anda semua boleh membayangkannya.”
”Kini kami semua bersatu, dengan harapan Sir Alex akan pulih dengan cepat. Dia merupakan seorang tokoh yang unik dan penting buat bola sepak dunia sejak beberapa dekad yang lalu.”
”Saya tidak pernah dilatih olehnya, malangnya, saya sangat mengetahui mengenai legasinya yang tiada tandingan di kelab ini.”
”Kami mesti memberikan penghormatan terhadapnya dalam tiga perlawanan terakhir musim ini terutamanya dalam perlawanan akhir Piala FA.”
”Untuk mencapai perkara tersebut, kami perlu bekerja keras dalam masa yang sama kami menantikan berita baik mengenai pemulihan Sir Alex.”
Selain daripada perlawanan akhir bertemu Chelsea, Juan Mata dan rakan sepasukan akan menghadapi baki dua perlawanan dalam saingan Liga Perdana Inggeris bertemu West Ham United dan Watford.