Pengurus berprofil tinggi, Jose Mourinho yang sebelum ini dikaitkan dengan Newcastle United memberikan gambaran jelas bahawa beliau tidak berminat untuk menyertai kelab tersebut.
Berpendapat dirinya adalah seorang ‘pemenang’, Mourinho menegaskan tidak akan menyertai pasukan yang gembira menamatkan saingan ditempat kesembilan liga.
Desas-desus mengenai Mourinho mula kedengaran selepas Newcastle United dikhabarkan menarik minat jutawan Arab, Sheikh Khaled Bin Zayed Al Nahyan bagi mengambil alih kelab Tyneside itu.
Mengulas mengenai hujah tentang dirinya itu, Mourinho berkata:
“Satu-satunya perkara yang saya tahu adalah apa yang saya tidak mahu. Dalam erti kata saya perlu bermain untuk menang.”
”Jadi, sekiranya saya tidak memenangi perlawanan, itu adalah masalah saya dan pemain serta kelab tetapi saya memerlukan satu projek di mana perasaan saya adalah untuk menang.”
”Sekiranya seseorang memberikan saya kontrak 10 tahun yang menarik dan objektif kelab itu adalah untuk menamatkan saingan liga di tangga ketujuh, kelapan atau kesembilan, itu cukup sempurna, bukan buat saya. Itulah sifat semulajadi saya.”
”Jawatan seterusnya buat saya adalah untuk bersaing hebat bagi memenangi perlawanan.”
Jose Mourinho masih belum mempunyai pasukan selepas dipecat daripada Manchester United pada Disember tahun lalu.