Jose Mourinho Akan Kembali Ke Formasi Taktikal Sebelumnya Berdepan Arsenal?

jose-mourinho-tottenham-2020

Perubahan formasi taktikal Jose Mourinho berjaya memberi kemenangan buat Tottenham tetapi adakah ianya akan dikekalkan ketika mereka melayan Arsenal?

Pengendali berpengalaman itu telah membuat sedikit perubahan kepada formasi permainan pasukannya daripada kebiasaannya 4-2-3-1 kepada 4-3-3. Ia membantu mereka meraih tiga mata ke atas Everton tetapi tidak berdepan Bournemouth.

Hanya perubahan sementara?

Ketika terikat tanpa jaringan menentang Bournemouth, Mourinho telah mengekalkan formasi permainan yang membantu mereka menang ke atas Everton namun, ianya gagal. Tottenham langsung gagal melakukan percubaan tepat dalam aksi tersebut.

Kegagalan tersebut meneruskan rentak terumbang ambing mereka sejak Premier League kembali bersambung pada pertengahan Jun lalu. Spurs menang dan seri dalam dua perlawanan selain tewas 1-3 kepada Sheffield United pada awal bulan.

Bakal berdepan Arsenal dalam Derbi London Utara, adakah Mourinho bakal merubah semula taktikal tersebut atau mengekalkannya? Arsenal juga telah menggunakan formasi permainan yang baharu dan merekodkan keputusan yang lebih baik.

Formasi baharu ini dikatakan akan membantu tiga pemain untuk menyinar tetapi ianya dilihat tidak berlaku ketika berdepan kelab yang sedang bergelut di zon penyingkiran tempohari. Jadi, bagaimana pula berdepan musuh tradisi seperti Arsenal?

Lain diharap, lain yang jadi

Tiga pemain yang dikatakan akan menyinar adalah Harry Winks, Moussa Sissoko dan Giovani Lo Celso. Ketiga-tiganya turut berada dalam kesebelasan utama dalam aksi memburu tiga mata mudah ke atas Bournemouth, tetapi sebaliknya telah berlaku.

Dua bek sayap yang diharapkan akan lebih membantu jentera serangan menerusi hantaran-hantaran lintang gagal dikesan. Mungkin faktor ini yang mengganggu transisi perubahan formasi taktikal yang cuba digubah oleh Mourinho ketika ini.

Serge Aurier dan Ben Davies telah mempamerkan prestasi buruk. Adakah mereka gagal beradaptasi dengan permintaan pengendali asal Portugal tersebut?

Untuk berdepan Arsenal yang dalam momentum lebih baik, Mourinho jelas perlu mengelak mengekalkan formasi tersebut yang bakal mendedahkan mereka – terutamanya Aurier dan Davies kepada jentera serangan lawan yang lebih efektif.

Lo Celso sepatutnya bersinar

Lo Celso dikatakan lebih efektif bertindak dalam formasi tersebut. Ia akan memberikan pemain tengah tersebut lebih lesen untuk terlibat di jentera serangan dan ‘mengebom’ pihak lawan sebagaimana aksinya musim lalu ketika bersama Real Betis.

Pemain berusia 24 tahun itu telah meledak 16 gol dan enam bantuan gol dalam 46 penampilan. Kehadirannya ke Tottenham diharapkan akan membantu menambah kreativiti buat pasukan namun, beraksi lebih ke bawah tidak membantunya.

Aksi buruknya ketika menentang Bournemouth tidak memperlihatkan kemampuan sebenarnya – langsung tiada percubaan ke gol, tiada hadangan atau memintas hantaran lawan dan tiada hantaran penting dan tepat kepada rakan sepasukan.

Sebagai pemain utama Spurs musim ini, mungkin Mourinho masih akan meletakkan kepercayaan kepadanya dalam derbi nanti. Cuma, adakah formasi baharu itu akan dikekalkan dengan pelbagai masalah terutamanya dalam menjana serangan?

Penutup

Mungkin ini adalah perubahan formasi permainan yang singkat oleh Mourinho? Mendapat keputusan berdepan Arsenal sangat penting buatnya dan Tottenham dijangka akan kembali kepada formasi permainan tradisi mereka iaitu 4-2-3-1.

Kegagalan formasi baharu yang merupakan kegemaran Mourinho itu ketika berdepan Bournemouth adalah indikasi Spurs bakal kembali semula ke sistem lama.

KREDIT FEATURED IMAGE: SILVERHUB

Baca lagi mengenai Jose Mourinho dan Tottenham:

Leave a Reply