Bekas pertahanan Liverpool, Jose Enrique telah tampil memberikan respon terhadap kenyataan kasar penyerang Everton, Richarlison sebelum ini terhadap Virgil van Dijk.
Beberapa hari lalu, Richarlison menamakan tiga pertahanan terbaik di dunia dan menyatakan yang van Dijk tidak termasuk di dalam senarainya sebagai antara yang terbaik – iaitu Sergio Ramos dan duo PSG, Thiago Silva dan Marquinhos.
Cakap lepas perlawanan
Ia jelas tamparan hebat buat pemenang tempat kedua Ballon d’Or 2019, menewaskan pemain sensasi Juventus, Cristiano Ronaldo yang meraih kedudukan ketiga.
Menerusi Instagramnya, Enrique tampil memberi nasihat kepada penyerang muda tersebut yang sebarang kenyataan sebegitu tidak begitu bijak untuk dibuat sebelum perlawanan berlangsung dan ini tentunya akan membangkitkan kemarahan van Dijk.
“Nasihat untuk Richarlison. Seeloknya, bercakaplah selepas perlawanan, sekarang anda tentunya telah buat VVD marah. Kita tengoklah apa akan jadi. Come on Reds!!” titip Enrique di laman Instagramnya sebagai respon kepada kenyataan tersebut.
van Dijk boleh dianggap antara pemain terbaik Liverpool ketika ini selepas membantu kelabnya itu untuk berada di puncak English Premier League (EPL) dengan jarak 22 mata daripada pencabar terdekat, Manchester City yang mengumpul 60 mata.
VVD bagus tetapi bukan terbaik
Penyerang asal Brazil itu telah menyatakan yang van Dijk sudah pernah ditewaskannya sebelum ini, menjadikan beliau bukanlah antara pertahanan terbaik di dunia sambil menyatakan yang Sergio Ramos, Thiago Silva dan Marquinhos adalah yang terbaik.
“Ramai orang bercakap tentangnya. Ya, dia pertahanan yang bagus tetapi saya pernah menewaskannya. Dia dipilih antara tiga pertahanan terbaik di dunia disebabkan dia melalui musim yang baik. Bagi saya, ada pertahanan lain yang lebih bagus.
“Thiago Silva, Marquinhos dan Sergio Ramos,” ungkap Richarlison ketika ditemuramah oleh Desimpedidos menjelang pertembungan Derbi Merseyside pada awal pagi Isnin.
Walaupun van Dijk telah mempamerkan sentuhan hebatnya sejak menyertai The Reds daripada Southampton pada Januari 2018 dan telah membantu Liverpool meraih gelaran Champions League musim lalu, Richarlison langsung tidak mengiktirafnya.
Penyokong The Reds: Masih ingat Nathaniel Phillips?
Kenyataan tersebut bukan sahaja mendapat respon daripada Jose Enrique, para penyokong Liverpool juga tampil mengingatkan Richarlison mengenai kekalahan 0-1 Everton kepada mereka pada pusingan ketiga Piala FA, awal Januari yang lalu.
Penyerang berusia 23 tahun itu tampil beraksi 90 minit tanpa kehadiran van Dijk di padang, namun masih gagal membantu The Toffees untuk menewaskan Liverpool dan mara ke pusingan seterusnya. Siapa yang berjaya menguncinya pada aksi tersebut?
Penyokong Liverpool dengan pantas mengingatkan Richarlison mengenai pertahanan pilihan ke-6 mereka, Nathaniel Phillips yang diturunkan oleh Jurgen Klopp.
Everton tetap gagal untuk mengalahkan mereka walaupun Klopp membuat rombakan besar-besaran – membuat 9 perubahan pada kesebelasan utama dan memberikan peluang kepada pemain kurang berpengalaman termasuklah Phillips.
Penutup
Adakah perang mulut yang telah dimulakan oleh Richarlison ini akan membantu menghangatkan Derbi Merseyside bagi menjadikannya lebih menarik untuk disaksikan oleh semua nanti? Sesetengah pihak menyatakan, “Macam inilah baru derbi!”
Untuk rekod, sepanjang 55 pertembungan Liverpool-Everton di EPL, The Reds telah menang 24 kali dan Everton sebanyak 9 kali, baki 22 perlawanan berkesudahan seri.
KREDIT FEATURED IMAGE: EVERTON FC