Pertahanan kental Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Jordi Amat Maas berpeluang besar untuk kembali membuat perhitungan secara individu bersama pemain bintang dunia, Lionel Messi pada aksi persahabatan akan datang.
Jordi yang sebelum itu pernah beraksi dalam saingan LaLiga di Sepanyol bersama Rayo Vallecano pernah bersemuka dengan Messi yang mewakili Barcelona pada tahun 2019.
Pada perlawanan tersebut, Rayo Vallecano mencatat kekalahan 1-3 kepada Barcelona dan Jordi menjadi salah satu tonggak penting yang beraksi dalam kesebelasan utama sebagai pertahanan.
INDONESIA vs Argentina!!
Pertemuan kesekian kalinya Jordi Amat vs Lionel Messi 🤜🤛 pic.twitter.com/rJo8zQaonU
— GIBOLofficial (@GIBOLofficial) May 22, 2023
Selaku pertahanan, pastinya Jordi mempunyai tugas getir untuk mengawal setiap pergerakan cuba dibuat oleh Messi serta pemain lawan lain, dan beliau sendiri terlibat dengan pertarungan individu bersama pemain tersebut beberapa kali.
Sepanjang aksi yang berlangsung di Camp Nou itu, Rayo Vallecano terlebih dahulu membuka jaringan pertama menerusi jaringan Raul de Tomas pada minit ke-24 untuk mengejutkan tuan rumah.
Namun, Barcelona tampil dengan penguasaan permainan lebih jelas dan hasilnya Gerard Pique kembali menyamakan kedudukan setelah menerima umpanan cantik daripada Messi untuk memerangkap Jordi serta rakan sepasukan.
Pada aksi itu juga menyaksikan Jordi membuat kesalahan tidak sepatutnya, setelah beliau membuat kekasaran kepada Nelso Semedo dan sekali gus menghadiahkan sepakan penalti buat Barcelona serta disempurnakan oleh Messi.
Perlawanan tamat dengan Luis Suarez tampil cemerlang untuk meledak gol ketiga buat Barcelona, dan Jordi juga tidak beraksi penuh selepas beliau digantikan pada minit ke-64.
Ianya merupakan aksi terakhir membabitkan Jordi bersama Messi, dan pastinya pertahanan bertubuh sasa itu ingin membuat perhitungan semula untuk menebus kesalahan lalu kerika di Sepanyol.
Nama Jordi antara yang tersenarai dalam skuad kebangsaan Sang Garuda bawah kendalian Shin Tae-yong selain beberapa pemain lain turut dipanggil untuk menentang Argentina.
Bersama Argentina, Messi serta rakan sepasukan lain akan tiba pada bulan Jun depan untuk menjalani satu aksi persahabatan bersama Indonesia yang bakal berlangsung di Jakarta.
Pengalaman Jordi Amat Ditagih Indonesia Untuk ‘Merantai’ Lionel Messihttps://t.co/ffr2EIAUYF
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) May 23, 2023
Nama Jordi antara yang disebut-sebut untuk menganggotai kesebelasan utama Indonesia, setelah pemain tersebut mempunyai pengalaman cukup luas di Eropah untuk mengawal bintang-bintang besar dalam dunia bola sepak menerusi CNN Indonesia.
Tambahan pula, prestasi pemain ini berada dalam keadaan terbaik bersama JDT, selepas kelibat beliau sukar untuk diatasi mana-mana penyerang lawan dan pasukan itu hanya dibolosi satu jaringan sahaja.