Penyerang berbisa Terengganu yang juga merupakan penjaring terbanyak Liga Premier, Jordan Mintah berkata beliau tidak begitu memikirkan kedudukan dirinya sama ada disenaraikan dalam skuad utama Terengganu atau beraksi bersama Terengganu II di Liga Premier dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).
Sebagai seorang pemain bola sepak profesional, beliau yang merupakan pemain kelahiran Ghana berusia 27 tahun itu menjelaskan tugasnya adalah untuk memastikan sasaran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan berhasil pada penghujung musim.
Walaupun sebelum ini Mintah dilihat seakan merajuk dengan pasukan, namun pemain berketinggian 1.84 itu dilihat bersedia untuk memberi bakti buat Nafuzi Zain jika diberi peluang beraksi bersama skuad utama.
“Impian saya adalah untuk bermain dengan pasukan utama musim ini, namun ianya bukan keputusan saya, terpulang kepada barisan jurulatih untuk menyenaraikan beraksi bersama pasukan TFC atau TFC II kerana kedua-dua pasukan sudah tentu saya boleh bermain.
“Kini saya tidak mahu memikirkan perkara itu, sebaliknya terus bekerja keras dan menjalani latihan dengan kedua-dua pasukan, lagipun saya tidak ada masalah beraksi bersama rakan sepasukan dalam mana-mana pasukan.
“Di mana jurulatih letak, saya akan bermain bersungguh-sungguh dan berikan persembahan 100 peratus kerana itu adalah tanggungjawab yang harus dipikul, lagipun saya sudah bersedia sepenuhnya jika ditugaskan sebagai penggempur skuad utama,” katanya ketika ditemui pada saingan empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, minggu lalu menerusi Harian Metro.
Mintah juga tidak menolak untuk sekali lagi ingin menjadi selaku penjaring terbanyak Liga Malaysia setelah berjaya membuktikannya musim lalu apabila berjaya merekodkan 16 gol sepanjang saingan Liga Premier dan empat gol terhasil dalam kempen Piala Malaysia.
“Sasaran saya sudah tentu untuk merakam rekod yang lebih baik berbanding musim lalu dengan sekali lagi muncul penjaring terbanyak sama ada dalam saingan Liga Perdana ataupun Liga Super selain membantu pasukan meraih piala kejuaraan.
“Bagaimanapun ianya bukan sesuatu yang mudah kerana persaingan untuk merebut penjaring terbanyak membabitkan semua pasukan dan bukannya dalam pasukan.
“Tapi dengan kerjasama rakan sepasukan dan bimbingan barisan kejurulatihan, impian itu pasti boleh dicapai kerana saya tidak boleh lakukannya berseorangan,” kata Mintah yang sudah tiga musim beraksi dalam pentas Liga M termasuk tahun ini.
Selain Mintah, musim ini Terengganu juga telah menandatangani dua lagi penyerang berbisa yang telah membuktikan ketajaman dalam Liga Malaysia iaitu Kpah Sherman dan kepulangan kembali Tchetche Kipre sekali gus bakal menyaksikan persaingan sengit bagi merebut posisi penyerang utama Terengganu.